KUALA LUMPUR/SINGAPURA, 15 Januari 2026 – Penerbit media global kini berpeluang menjana aliran pendapatan baharu yang mampan menerusi integrasi platform perhubungan awam (PR), Supernewsroom.AI dengan ChatGPT.
Pengenalan ‘Agentic PR GPT’ khusus ini menukarkan ChatGPT menjadi enjin PR global, membolehkan pengguna merancang, melaksana, dan memperluas liputan media (earned media) melalui satu antaramuka perbualan yang mudah.
Pada masa yang sama, inisiatif ini memastikan penerbit, daripada portal bebas hingga ke laman berita utama, mengekalkan kawalan editorial penuh sambil mendapat akses kepada khalayak yang lebih luas.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Supernewsroom.AI, Manminder Kaur Dhillon berkata, teknologi ini bertindak sebagai pembantu PR pintar yang membimbing pengguna melalui kitaran penuh berita, daripada pembangunan cerita hingga ke penempatan media.
“Dengan menyepadukan berita sebenar dan infrastruktur yang lebih cenderung dilihat AI ke dalam pengalaman ChatGPT, Supernewsroom.AI menghapuskan halangan tradisional kepada akses media.
“Ia membolehkan pengguna bergerak daripada sekadar idea kepada liputan berautoriti melalui rangkaian dipercayai kami yang merangkumi lebih 800 penerbit berwibawa termasuk rakan pengedaran berita,” katanya dalam kenyataan media.
Manminder menambah, bagi pihak penerbit, GPT ini memperluaskan model sedia ada Supernewsroom.AI, membuka kunci jangkauan dan hasil yang lebih besar untuk rangkaian penerbitnya tanpa menggadaikan kebebasan editorial.
Antara keupayaan utama GPT ini termasuk menterjemah idea kepada sudut berita, mengenal pasti penerbitan yang sesuai berdasarkan lokasi dan bahasa, serta menjana laporan PR berstruktur.
Ia juga memperkenalkan ‘Skor Keterlihatan AI’ (AI Visibility Score) untuk mengukur sejauh mana jenama diiktiraf merentas enjin carian AI (kecerdasan buatan).
Sementara itu, Pengasas Bersama Supernewsroom.AI, Puspavathy Ramaloo menekankan kepentingan Pengoptimuman Enjin Generatif (GEO) dalam era AI.
“Pelancaran ini adalah mengenai akses pada skala besar. Ia memberi pengguna cara praktikal untuk terlibat dengan laman berita berwibawa bagi membina keterlihatan dalam penemuan dipacu AI atau GEO.
“Ini memastikan jenama boleh ditemui oleh sistem AI seperti ChatGPT, Gemini, dan Perplexity, yang mengutamakan kewartawanan dengan kuasa berita yang lebih berwibawa dan sumber media yang dipercayai,” jelas Puspavathy.
Pengguna kini boleh mengakses ‘News & AI Visibility Agent’ ini dengan membuat carian “Supernewsroom.AI” di dalam aplikasi ChatGPT.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































