PUTRAJAYA, 4 Jun 2025 — Tourism Selangor terus memperkukuh usaha promosi pelancongan domestik dengan mengetengahkan tema “Surprising Selangor!” dalam program Jom Ngopi – Tourism Malaysia Net-Work Sesh Sesi 1/2025 yang berlangsung hari ini dengan kerjasama Tourism Malaysia.
Lebih 300 peserta daripada kementerian, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri pelancongan dari seluruh negara hadir bagi merancakkan sesi rangkaian industri ini. Program berimpak tinggi tersebut turut memperkenalkan kempen pelancongan domestik “Wah! Selangor Kan Ada!”, sebagai sebahagian daripada inisiatif menjelang Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, menyifatkan sesi ini sebagai wadah penting dalam membina kerjasama strategik antara Tourism Selangor, Tourism Malaysia dan rakan industri.
“Program seperti ini bukan sahaja mengukuhkan jaringan komunikasi dalam sektor pelancongan, tetapi juga membuka ruang untuk mempromosikan destinasi dan produk pelancongan baharu di Selangor,” katanya dalam kenyataan media.
Sebanyak 20 tapak pameran disediakan, menampilkan pelbagai segmen pelancongan merangkumi perhotelan, taman tema, agro dan ekopelancongan, gastronomi, serta budaya dan warisan. Antara peserta di bawah Pavilion Selangor termasuk GL Play by Gamuda Land, Sky Mirror Kuala Selangor, Rumah Hutan Terapi Alam Bonda Rozita, Chocolate Museum, Farm Fresh dan Heritaste Jenjarom.
Sesi turut diserikan dengan pembentangan produk pelancongan baharu, cabutan bertuah dengan hadiah pakej pelancongan menarik, serta persembahan lagu rasmi kempen “Surprising Selangor”. Penyanyi Naim Danial turut membuat persembahan istimewa sebagai tarikan tambahan.
Program ini dilihat selari dengan strategi memacu pertumbuhan pelancongan domestik dan antarabangsa, khususnya menjelang pelancaran rasmi TMS2025. Tourism Selangor yakin pendekatan promosi secara langsung bersama pemegang taruh industri akan terus memperkasa kesedaran tentang keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan negeri.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Tourism Selangor atau ikuti media sosial rasmi mereka.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































