KUALA LUMPUR, 19 Mei 2026 – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan Cabaran Adaptasi dan Ketahanan Banjir Sungai (RIFAR) bagi mengubah pendekatan menangani bencana banjir daripada isu infrastruktur tradisional kepada keutamaan pasaran modal dan perancangan ekonomi negara.
Inisiatif di bawah program Peralihan, Ketahanan dan Adaptasi dalam Pasaran Modal (TRAC) oleh SC ini diperkenalkan berikutan kebimbangan terhadap risiko iklim yang kini memberi kesan kewangan ketara kepada rantaian bekalan, produktiviti, serta penilaian aset di kawasan berisiko tinggi.
Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) Malaysia turut menekankan kepentingan untuk melihat pengurusan banjir sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang yang mampan berbanding sekadar perbelanjaan awam yang bersifat reaktif.
Ketua ICAEW Malaysia, Shenola Gonzales, berkata program RIFAR berupaya menukarkan idea kreatif kepada penyelesaian praktikal memandangkan risiko iklim sering mencetuskan gangguan ekonomi serta tekanan terhadap pembiayaan infrastruktur negara.
“Melalui dua kategori yang disediakan iaitu Sprint dan Marathon, para pelajar dicabar untuk menghubungkan bidang kejuruteraan, kelestarian, kewangan, dan dasar bagi bertindak balas terhadap cabaran sebenar negara. Ini merupakan persoalan kepimpinan tentang bagaimana untuk menukar risiko iklim kepada penyelesaian yang mempunyai daya maju serta boleh diskalakan, sekali gus mencerminkan pemikiran sistem dan pertimbangan yang diperlukan oleh masa depan profesion kami,” kata beliau lagi.
Pertandingan ini dibuka kepada mahasiswa daripada semua bidang pengajian dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan melebihi RM50,000.
Kategori Sprint memfokuskan kepada usaha membentuk pemahaman awam mengenai ketahanan sungai melalui komunikasi, manakala kategori Marathon memerlukan pasukan pelbagai disiplin merangka pelan tebatan banjir bersepadu bagi kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam yang sering dilanda banjir, dengan menggabungkan konsep kejuruteraan dan strategi pembiayaan pasaran modal.
Tarikh tutup pendaftaran bagi cabaran ini telah dilanjutkan sehingga 26 Mei 2026 bagi memberikan lebih masa kepada pelajar untuk membentuk kumpulan.
Maklumat lanjut mengenai pendaftaran boleh diperolehi melalui laman web rasmi SC, manakala komitmen ICAEW dalam memperkasakan ekosistem kewangan mampan boleh dilayari di portal rasmi mereka.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































