KUALA LUMPUR, 24 April 2025 – Talentbank mengumumkan Senarai Universiti Pilihan Majikan 2025, memaparkan institusi pengajian tinggi yang graduannya paling digemari oleh majikan di Malaysia.
Majlis pelancaran yang berlangsung di EQ Kuala Lumpur disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, sebagai tanda sokongan kerajaan dalam memperkasa kebolehpasaran siswazah.

Menurut Talentbank, senarai itu disusun berdasarkan data pengambilan pekerja sebenar oleh syarikat-syarikat gergasi negara, termasuk PETRONAS, Maybank dan CelcomDigi. Ia menggunakan Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan (GE Index) yang dibangunkan oleh Talentbank, merangkumi tiga kriteria utama iaitu pemilihan universiti oleh majikan, kadar pengambilan graduan, dan kadar pengambilan semula.
Universiti awam yang menduduki senarai teratas termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sementara itu, Sunway University terus mengungguli kategori universiti swasta buat tahun keempat berturut-turut, diikuti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Heriot-Watt University Malaysia, Asia Pacific University (APU), International Medical University (IMU) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho berkata inisiatif ini bertujuan membantu lepasan sekolah dan ibu bapa membuat keputusan tepat dalam memilih institusi pengajian yang dapat menjamin peluang kerjaya yang lebih baik.
“Selain senarai ini, kami juga melancarkan Career Playbook sempena ulang tahun ke-15 Talentbank. Ia merupakan panduan strategik kerjaya untuk pelajar, mahasiswa dan graduan muda mengenal pasti industri berpotensi, membina kemahiran serta menguasai proses permohonan kerja,” katanya.
Senarai penuh Universiti Pilihan Majikan 2025 boleh dilayari di www.talentbankgroup.com , manakala maklumat mengenai Career Playbook boleh diperoleh di www.careerplaybook.io .
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.