CYBERJAYA, 15 Julai 2026 – Tan Sri Datuk Liew Yun Fah dilantik sebagai Pengerusi baharu Technology Depository Agency Bhd (TDA), berkuat kuasa 15 Jun 2026.
Pelantikan itu dibuat ketika TDA memasuki dekad kedua operasinya dengan tumpuan kepada usaha memperkukuh pembangunan keupayaan teknologi negara serta ekosistem perolehan strategik.
Pengalaman luas Tan Sri Liew dalam kepimpinan sektor awam dan tadbir urus strategik dijangka dapat memperkukuh usaha TDA bagi memastikan perolehan kerajaan menjana nilai ekonomi, teknologi dan perindustrian yang mampan.
Agensi itu dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Kewangan untuk melaksanakan Program Kolaborasi Industri (ICP) serta menerajui pelaksanaan inisiatif Kontrak Berasaskan Prestasi (PBC).
Ditubuhkan pada 2015, TDA kini berkembang sebagai institusi nasional yang menghubungkan dasar kerajaan dengan pelaksanaan industri. Agensi itu diberi mandat untuk menyelia pelaksanaan ICP di bawah Pekeliling Perbendaharaan PP/PK 1.7 serta berperanan sebagai Pusat Rujukan Malaysia bagi PBC di bawah Pekeliling Perbendaharaan PP/PK 1.8.
TDA turut menyokong kementerian, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan industri strategik dalam memaksimumkan nilai yang diperoleh daripada perolehan kerajaan.
Mengalu-alukan pelantikannya, Tan Sri Liew merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin agensi itu ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Saya berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi TDA. Sepanjang sedekad lalu, TDA telah membina asas yang kukuh serta memperoleh kepercayaan daripada kerajaan, pihak industri dan pelbagai pihak berkepentingan strategik.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan serta semua pihak berkepentingan bagi terus memperkukuh sumbangan agensi ini ke arah pembangunan teknologi dan perindustrian Malaysia,” katanya.
TDA akan terus memperkukuh pelaksanaan ICP, memperluaskan penggunaan PBC, membangunkan keupayaan teknologi, mempercepatkan inovasi serta menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, industri dan institusi akademik.
TDA juga kekal komited terhadap visinya untuk menjadi rakan strategik pilihan serta misinya mengoptimumkan platform kolaborasi yang memaksimumkan manfaat kepada semua pihak berkepentingan.
Di bawah kepimpinan Tan Sri Liew, TDA akan terus mempergiat usaha meningkatkan daya saing industri, memperkukuh daya tahan negara serta menyokong aspirasi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang dipacu inovasi.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































