KUALA LUMPUR, 19 Jun 2023 — Think City hari ini mengumumkan penyertaan untuk Cabaran Urban KL Kreatif (CUKLK) kini dibuka.
CUKLK adalah satu usaha meremajakan bandar sebagai sebahagian dari Inisiatif Belanjawan 2023 yang bertujuan untuk mendorong usaha memperbaharui Pusat Bandar Kuala Lumpur (KL) menjadi wilayah kreatif dan kebudayaan yang berkembang pesat.
Manakala Think City pula ialah sebuah organisasi impak yang bertujuan untuk menyediakan penempatan yang lebih berdaya huni, tahan lasak, dan lestari.
CUKLK bekerjasama dengan Proficeo dan OpenAcademy untuk menjayakan usaha ini dan mula menerima penyertaan pada 19 Jun 2023.
Objektif utamanya adalah untuk mewujudkan kerjasama di antara warga kota, universiti, pengamal seni kreatif, profesional, penggodam, pereka, inovator, perancang bandar dan pakar serta pembangun dan jurutera perisian untuk merancang penyelesaian urban yang berinovasi yang meningkatkan Pusat Bandar Kuala Lumpur dan meningkatkan kualiti hidup penduduknya.
Cabaran inovasi ini bertemakan bandar, komuniti, dan kreativiti; dengan tujuan untuk mengatasi isu-isu yang berterusan dihadapi oleh Kuala Lumpur.
Ia mencari penyelesaian berkaitan tiga tema utama: Alam Sekitar yang Lebih Baik untuk Semua, Menambah baik Aksesibiliti Bandar, dan Membangun Semula Perumahan di Bandar, sebagai sebahagian daripada matlamatnya untuk mengubah Pusat Bandar Kuala Lumpur menjadi sebuah Wilayah Kreatif dan Budaya.
Cabaran ini juga bertujuan untuk memperlihatkan penyelesaian urbanisasi terbaik Malaysia dengan memanfaatkan Pusat Bandar KL sebagai pentas serantau bagi peremajaan urban mengikut acuan budaya.
Seterusnya, ia bertujuan memimpin pertumbuhan ekonomi budaya dan kreatif, bukan hanya untuk bandar-bandar lain dalam negara ini tetapi juga untuk rantau yang lebih luas.
Inisiatif ini sejajar dengan Perancangan Strategik Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD), yang dibangunkan pada tahun 2019 melalui kerjasama antara Think City, Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Budaya (MOTAC), Jabatan Warisan Negara (JWN), dan Yayasan Hasanah, yang bertujuan untuk menyemarakkan semula daerah bersejarah Kuala Lumpur, menyediakan sebuah pusat yang inklusif, kreatif, bersemangat, dan berkembang pesat untuk perniagaan dan penduduk.
Sila layari www.thinkcity.com.my/CKLUC untuk pengumuman penuh, Soalan Lazim (FAQ), dan maklumat tambahan.