KUALA LUMPUR, 31 Mac 2026 — Ekonomi global yang berdaya tahan terus menawarkan peluang pertumbuhan yang baik, dan Perbankan Persendirian HSBC menasihatkan pelabur agar menumpukan kepada pembinaan portfolio yang mampan melalui pempelbagaian meluas bagi mendepani ketidaktentuan geopolitik semasa.
Dalam laporan ‘Gambaran Pelaburan Suku Kedua (Q2) 2026: Naratif Kian Berubah, Peluang Berterusan’, institusi perbankan itu menyarankan klien kemewahan peribadi mengelak daripada cuba meneka masa yang tepat untuk keluar dan masuk ke dalam pasaran, sebaliknya memperluas akses kepada dana lindung nilai, pasaran swasta, serta mempelbagaikan geografi dan kelas aset.
Ketua Pegawai Pelaburan Global di Perbankan Persendirian dan Kekayaan Premier HSBC, Willem Sels berkata, pelabur tidak seharusnya terlalu pesimis atau terlalu teruja dengan keadaan pasaran yang berubah pesat, sebaliknya fokus kepada meningkatkan daya tahan demi meraih pulangan yang lebih stabil.
Bagi pasaran domestik, Pakar Strategi Pelaburan Asia HSBC, Abhilash Narayan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang sebanyak 4.5 peratus pada tahun 2026. Pertumbuhan ini disokong oleh penggunaan domestik yang kukuh, kelangsungan perbelanjaan infrastruktur dan pusat data, serta sektor pelancongan.
Menurutnya, kadar inflasi di Malaysia dijangka terus terkawal walaupun terdapat tekanan jangka pendek akibat kenaikan harga tenaga global dan konflik di Timur Tengah. Sehubungan itu, HSBC menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar faedah penanda aras pada 2.75 peratus sepanjang tahun 2026.
Mengenai prestasi mata wang tempatan, ringgit diiktiraf sebagai antara mata wang Asia yang paling kukuh berbanding dolar AS pada tahun ini. Walau bagaimanapun, memandangkan nilainya kini didapati tinggi berbanding ciri-ciri asas ekonomi, HSBC mengambil pendirian neutral terhadap ringgit untuk tempoh enam bulan akan datang. Kadar pertukaran USD/MYR diunjurkan mencecah paras 3.85 menjelang akhir tahun 2026.
Bank itu turut mengekalkan kedudukan neutral terhadap aset ekuiti Malaysia buat masa ini berikutan sektor pertumbuhan utama seperti elektronik, cip, dan pusat data masih kurang diwakili dalam indeks saham tempatan, dengan jangkaan pertumbuhan pulangan pelaburan sekitar sembilan peratus bagi tahun 2026.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































