KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2022 — Tenaga Nasional Bhd melalui Bahagian Tenaga Baharu (NED) akan menumpukan kepada penerokaan pasaran baharu untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan membina keupayaan dan memperoleh akses kepada teknologi serta pengetahuan pasaran, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Baharin Din.
TNB Renewables Sdn Bhd akan menumpukan kepada Asia Tenggara untuk meneroka pasaran baharu di rantau itu, antaranya ialah Thailand, Filipina, Vietnam, Taiwan, Korea Selatan dan Australia manakala Vantage RE Ltd pula akan memfokus pasaran baharu di United Kingdom dan Eropah termasuk Sepanyol, Ireland dan Perancis.
“Kami sudah membuat bidaan dan setakat ini telah mengemukakan cadangan di Ireland dan Australia, sebahagian keputusannya akan diketahui dalam tahun ini.
Malah, ketika ini kerja-kerja tersebut sedang giat dijalankan. TNB bergerak bersendirian dalam bidaan semasa bagaimanapun ia terbuka kepada sebarang kerjasama daripada segi pembiayaan dengan syarikat Malaysia yang lain,” katanya pada sidang taklimat bersama pengarang media di sini hari ini.
TNB juga sedang mengintai peluang di Sepanyol dan Perancis, katanya.
Tambah beliau, terdapat potensi besar di Eropah kerana komitmennya terhadap tenaga hijau.
“Kami akan masuk sebagai pelabur dan juga pemain utiliti. Kami akan pergi ke negara yang sudah maju dan kami boleh belajar daripada (pemindahan teknologi) termasuk proses pengkomersialan,” kata beliau.
Vantage RE baru-baru ini sudah menyiapkan pelaksanaan pembiayaan berjumlah GBP275 juta (RM1.5 bilion) melalui pembiayaan semula portfolio loji tenaga Vantage Solar UK (VSUK) di United Kingdom (UK).
Portfolio solar 365 megawatt (MW) terdiri daripada 24 loji solar Photovoltaic (PV) yang dipasang di tanah yang terletak di seluruh England dan Wales dan memberikan sumbangan penting kepada bekalan tenaga bersih di UK.
Baharin berkata TNB seterusnya berhasrat untuk membawa teknologi itu ke Asia Tenggara dan pasaran berpotensi yang lain.
Beliau berkata strategi NED berpaksikan kepada pembangunan greenfield aset RE untuk meningkatkan pulangan dan mengoptimumkan pembiayaan melalui kitar semula modal serta memanfaatkan pasaran modal global untuk pelaburan RE.
Ia juga bertujuan untuk meningkatkan penyertaan dalam solar, luar pesisir dan angin daratan untuk berpotensi mencapai kapasiti RE sebanyak 14 GW menjelang tahun 2050, katanya.
- Bernama