KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Tourism Malaysia bakal menganjurkan Citrawarna Speed Festival 2026 bermula 23 September hingga 4 Oktober 2026 bagi menyokong persediaan Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).
Acara yang bakal berlangsung di lokasi strategik, termasuk IOI City Mall Putrajaya, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan Hotel Sama-Sama, ini menggabungkan elemen sukan permotoran dan seni kebudayaan tempatan menerusi dua komponen utama, iaitu Colours of Speed dan Colours of Art & Culture.
Komponen Colours of Speed bakal menampilkan pameran koleksi memorabilia perlumbaan, pameran kereta super ikonik, serta pertandingan simulator perlumbaan peringkat kebangsaan di IOI City Mall Putrajaya. Sementara itu, Colours of Art & Culture menyediakan pameran kraf tangan, persembahan seni tradisional, dan kemuncak acara perarakan Colours of Parade yang menghimpunkan seramai 1,500 penari serta penggiat seni budaya dari seluruh negara.
Penganjuran festival ini dimanfaatkan bagi memarakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan negara yang merekodkan peningkatan 2.5 peratus kepada 21.1 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, berbanding 20.6 juta pelawat dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Inisiatif ini turut digerakkan menerusi kerjasama pelbagai rakan strategik merangkumi IOI Properties, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya, Kraftangan Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Yes Travel & Holidays, SDeal Malaysia Sim Racing & Motorsport, SNS Network, dan HP.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































