KUALA TERENGGANU, 21 April 2025 – Tourism Malaysia meneruskan siri jelajah Pantai Timur sempena persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) menerusi penganjuran Sesi Libat Urus bersama penggiat industri pelancongan di Raia Hotel, Kuala Terengganu hari ini.
Program ini merupakan sebahagian daripada siri sesi yang berlangsung dari 20 hingga 22 April melibatkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Ia turut menjadi kesinambungan kepada pelancaran rasmi logo, lagu, video promosi dan maskot TMM2026.
Sesi libat urus ini memberi tumpuan kepada pendedahan pelbagai inisiatif dan insentif oleh Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), antaranya Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Galakan Melancong (GAMELAN) dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK).
Agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Balai Seni Visual Negara (BSVN) turut membentangkan program dan aktiviti pelancongan dan kebudayaan bagi tahun 2025.
Turut hadir, YB Ustaz Sulaiman Sulong, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu serta YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, bersama wakil kerajaan negeri dan industri pelancongan tempatan.
Pada tahun 2024, Malaysia mencatatkan 38 juta ketibaan pelawat, meningkat 31.1 peratus berbanding 2023. Sepuluh pasaran utama termasuk Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan.
Menjelang TMM2026, negara menyasarkan 45 juta ketibaan pelawat antarabangsa dan pendapatan pelancongan sebanyak RM270 bilion.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.