GENTING HIGHLANDS, 20 Oktober 2026 – Tourism Malaysia jalin kerjasama strategik bersama Astro Gempak bagi menganjurkan MY Escape 2026, sebuah program eksplorasi pempengaruh selama tiga hari bermula hari ini hingga 22 Oktober bagi mempromosikan keunikan tarikan pelancongan di Pahang sempena kempen Melawat Malaysia 2026–2027.
Program tersebut menghimpunkan seramai 24 wakil media, KOL dan pencipta kandungan digital dari Malaysia dan pasaran serantau terpilih seperti China, Laos, Filipina, Vietnam dan Indonesia. Kesemua peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan bagi merentasi laluan kembara di Genting Highlands, Bentong, Kuala Gandah, Kuantan dan Cherating.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata program eksplorasi berteraskan kandungan digital ini bertujuan mempamerkan keindahan alam semula jadi, budaya dan gastronomi tempatan menerusi medium penceritaan yang dekat dengan generasi masa kini.
“MY Escape 2026 mencerminkan komitmen Tourism Malaysia untuk mempromosikan destinasi Malaysia menerusi pengalaman dan penceritaan yang menarik. Kerjasama kami dengan Astro Gempak membuka peluang mempamerkan tarikan, budaya tempatan, gastronomi dan komuniti Pahang melalui kandungan yang dekat dengan khalayak digital masa kini,” kata beliau.
Program yang berkonsepkan cabaran pasport penjelajahan itu mewajibkan peserta menyelesaikan tugasan di lokasi tumpuan, antaranya aktiviti konservasi di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, aktiviti di Bentong Farm, cabaran kraf batik ikat celup di Cherating, aktiviti titian tinggi di Kuantan 188 serta cabaran fotografi Colour of Kuantan di Kuantan Art Street.
Penganjuran MY Escape 2026 turut menyokong aspirasi Pahang First dalam mengetengahkan potensi sosioekonomi negeri, di samping mempromosikan segmen pelancongan pandu sendiri (self-drive tourism) bagi membolehkan pelawat meneroka destinasi menarik di Malaysia mengikut keselesaan sendiri.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































