KUALA LUMPUR, 28 Januari 2026 – Tourism Malaysia dan Batik Air hari ini menandatangan Memorandum Kerjasama (MoC) bagi memperkukuh hubungan strategik, satu langkah penting dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan global sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
MoC tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy.
Kerjasama ini menekankan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mendedahkan pelancongan Malaysia dengan lebih meluas melalui jaringan perhubungan yang lebih baik, program pemasaran bersasar serta kerjasama industri yang berimpak tinggi.
Menurut Tourism Malaysia, kerjasama dengan syarikat penerbangan seperti Batik Air adalah kritikal memandangkan kesalinghubungan udara memainkan peranan penting dalam meningkatkan akses bagi pelancong untuk masuk ke negara ini.
“Langkah ini penting bagi menembusi pasaran yang lebih luas dan mengekalkan momentum ketibaan pelancong antarabangsa sebagai sokongan kepada VM2026,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy dan Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































