LOS ANGELES, 30 Oktober 2026 – Tourism Malaysia, menerusi pejabatnya di Los Angeles, dengan kerjasama China Airlines, menganjurkan program lawatan suai kenal (FAM) mewah selama lima hari yang melibatkan 10 wakil industri pelancongan dari Amerika Utara.
Program yang berlangsung dari 11 hingga 15 Oktober 2026 berkenaan bertujuan mempromosikan pelbagai tawaran pelancongan mewah di Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang menerusi pemeriksaan tapak hotel, pengalaman eksklusif serta sesi perangkaian bersama rakan industri tempatan.
Delegasi berkenaan dianggotai oleh wakil agensi pelancongan ternama di Amerika Utara, termasuk Arrangements Abroad, Remote Lands, Audley Travel dan Morris Murdock Escorted Tours.
Program bermula di Kuala Lumpur dengan pengenalan kepada kepelbagaian budaya, mercu tanda ikonik serta perkhidmatan hospitaliti premium, diikuti aktiviti pelancongan mewah di Langkawi merangkumi pelayaran di Taman Geoforest Kilim, kunjungan ke Langkawi SkyBridge serta pelayaran pelayaran katamaran matahari terbenam.
Lawatan berkenaan diakhiri di Pulau Pinang menerusi penerokaan Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town serta kelas memasak hidangan warisan tempatan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Los Angeles, Linawati Ismail, berkata program berkenaan memberikan gambaran jelas tentang keupayaan Malaysia mengintegrasikan elemen bandar, pulau dan warisan budaya dalam satu perjalanan percutian.
“Kami yakin hubungan yang terjalin dan inspirasi daripada lawatan ini akan diterjemahkan kepada penyediaan pakej itinerari mewah yang eksklusif buat pelancong Amerika Utara,” katanya.
Penganjuran program ini turut selari dengan pengiktirafan antarabangsa terkini apabila Pulau Pinang disenaraikan dalam Best Places in the World to Travel to in 2027 oleh National Geographic, manakala Kuala Lumpur dinamakan dalam Best Places to Go in 2027 oleh Frommer’s.
Sebelum ini, bagi tempoh Januari hingga September 2026 sahaja, Malaysia merekodkan kehadiran 248,382 pelawat dari Amerika Syarikat (AS), meningkat 4.1 peratus berbanding 238,564 pelawat pada tempoh yang sama tahun lalu.
Dalam pada itu, Tourism Malaysia kekal komited memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mewah pilihan utama dalam pasaran Amerika Utara.
Usaha itu dijangka dapat merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan secara mampan serta menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Malaysia melalui kerjasama strategik berterusan dengan penggiat industri pelancongan dan rakan penerbangan seperti China Airlines.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah


































