KUALA LUMPUR, 1 November 2026 – Tourism Malaysia menganjurkan sesi Meet & Greet di IRAMA Dining Kuala Lumpur bagi meraikan 19 wakil media antarabangsa dan Key Opinion Leaders (KOL) yang menyertai Program Mega Familiarisation (Mega Fam) sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia (MotoGP 2026).
Program lima hari bermula 29 Oktober hingga 2 November 2026 itu menghimpunkan delegasi dari China, India, Filipina, Sri Lanka, Indonesia dan Thailand untuk merasai tawaran sukan permotoran, kebudayaan, warisan, gastronomi serta gaya hidup negara.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah Tourism Malaysia untuk memperkukuh penglibatan media antarabangsa serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia, berkata Program Mega Fam bertindak sebagai platform strategik untuk meluaskan keterlihatan Malaysia di peringkat global.
“Penganjuran acara sukan permotoran bertaraf dunia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuktikan keupayaan Malaysia menganjurkan acara sukan antarabangsa berskala besar, di samping mewujudkan peluang pertumbuhan pelancongan,” kata beliau.
Antara tumpuan utama program merangkumi Night Track Tour di SIC, lawatan ke Kuala Lumpur City Gallery, Batu Caves, Tokong Thean Hou, The Exchange TRX, serta pengalaman menaiki bas KL Hop-On Hop-Off (HOHO).
Delegasi turut menyaksikan persembahan tarian kebudayaan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), menghadiri taklimat produk di muzium durian KLDEX, meneroka Space & Time Cube Malaysia, serta menghadiri kemuncak perlumbaan MotoGP pada 1 November.
Sektor pelancongan Malaysia merekodkan ketibaan 32.3 juta pelawat antarabangsa dari Januari hingga September 2026, meningkat 2.4 peratus berbanding 31.5 juta pelawat bagi tempoh sama tahun lalu.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































