KLUANG, 17 September 2026 – Tourism Malaysia menjalin kerjasama strategik bersama Persatuan Pelancongan Sukan Malaysia (MySTA) dan Bike Aid Singapore menerusi penganjuran acara Ride for Rations 2026 di sini bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan sukan berasaskan pengalaman.
Edisi ke-16 acara kayuhan rentas sempadan yang berlangsung dari Singapura ke Kluang dan Batu Pahat, Johor itu menghimpunkan kira-kira 70 orang peserta berbasikal bersama 30 kru sokongan.
Sejumlah tujuh pakej pelancongan berbasikal baharu yang dibangunkan oleh lima agensi pelancongan turut dilancarkan secara rasmi bagi memperluas penawaran segmen sukan dan Pelancong Bebas (FIT) menerusi aktiviti kumpulan kecil.
Program perintis ini mengelolakan konsep kayuhan berasaskan pengalaman menerusi pendedahan kepada destinasi tempatan, warisan budaya, keunikan sajian makanan, serta interaksi bersama masyarakat setempat di sepanjang laluan kayuhan.
Inisiatif berkenaan turut merangka pembangunan model pelancongan berbasikal rentas sempadan yang boleh diperluas ke destinasi lain di Malaysia, termasuk potensi pembangunan itinerari berbasikal bagi laluan Thailand–Malaysia. Langkah ini selari dengan pertumbuhan positif sektor pelancongan negara yang mencatatkan ketibaan 15.4 juta pelawat dari rantau Asia Tenggara bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, berbanding 15.1 juta pelawat dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































