KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia hari ini melancarkan pertandingan Malaysia Photo Hunt 2025 sebagai salah satu inisiatif mempromosi destinasi pelancongan negara menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Pertandingan foto dan video bertemakan pelancongan itu akan berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2025 dan terbuka kepada rakyat Malaysia, pemastautin asing serta pelawat antarabangsa yang menggunakan kamera atau telefon pintar bagi merakam keindahan destinasi pelancongan di Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus bin Akbar Khan, pertandingan ini bertujuan menggalakkan penglibatan kreatif rakyat dan pelawat dalam mempromosikan keindahan Malaysia di saluran media sosial dengan slogan “Malaysia Welcomes the World”.
Peserta perlu mengemukakan foto atau video beserta salinan resit sebagai bukti aktiviti pelancongan seperti penginapan di premis berdaftar, pembelian tiket ke tarikan pelancongan atau tempahan pengangkutan domestik bertarikh dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2025.
Lima jenama kamera dan telefon pintar terkemuka iaitu Canon, Sony, Samsung, OPPO dan Huawei bertindak sebagai rakan strategik pertandingan ini, sementara Perodua menaja 10 buah kereta untuk program Fam Trip yang melibatkan influencer dari 13 hingga 15 Jun 2025.
Pertandingan menawarkan hadiah utama berjumlah RM100,000, termasuk RM15,000 untuk kategori foto telefon pintar, RM25,000 untuk video telefon pintar, RM25,000 untuk foto kamera dan RM35,000 bagi video kamera. Jumlah keseluruhan hadiah adalah RM400,000, menjadikannya antara pertandingan foto dan video terbesar di negara ini.
Selain itu, 2,000 penyertaan terawal akan menerima hadiah misteri eksklusif daripada Tourism Malaysia. Keputusan rasmi pertandingan dijangka diumumkan pada Oktober 2025 dan diikuti dengan pameran khas bagi mempamerkan karya terpilih sebagai sebahagian daripada kempen VM2026.
Pertandingan ini turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri dan persatuan industri pelancongan seperti Langkawi Development Authority (LADA), Penang Global Tourism, Sarawak Tourism Board, Sabah Tourism Board, MATTA, BUMITRA, MAH, MAHO, MyBHA dan MITA.
Maklumat lanjut dan borang penyertaan boleh didapati di laman web rasmi Tourism Malaysia di www.mphunt.tourism.gov.my .
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































