SUBANG JAYA, 24 Oktober 2026 – Tourism Malaysia bersama Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) melancarkan program ‘Jelajah Lokal Treasure Hunt’ bagi merancakkan pelancongan domestik di samping mempromosikan destinasi percutian menarik di seluruh negara.
Program tersebut merupakan kesinambungan daripada kempen ‘Jom Jalan MYDIN’. Pelepasan telah berlangsung di MYDIN Subang Jaya bagi pusingan pertama menuju ke MYDIN MITC, Melaka.
Pertandingan interaktif tiga pusingan ini turut melibatkan laluan MYDIN Gopeng RTC ke MYDIN Bukit Mertajam pada 31 Oktober dan laluan MYDIN Kuala Terengganu ke MYDIN Tunjong pada 7 November.
Setiap pusingan disertai 50 pasukan bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM45,000 dengan sokongan rakan strategik seperti Tabung Haji Travel and Services, Sunway Lagoon, Lost World of Tambun, Setel, Atome, dan Malaysia Hunt Club.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung, berkata program berkenaan selari dengan usaha memperkasakan segmen pelancongan beli-belah yang kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan domestik negara.
“Dengan menerapkan konsep eksplorasi, peserta bukan sahaja dapat menikmati pengalaman peruncitan bernilai tambah, malah berpeluang merancakkan VM2026-2027 dengan mengetengahkan keunikan destinasi tempatan selari dengan aspirasi Yang Indah, Destinasi Kita,” kata beliau.
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin berkata kerjasama tersebut penting bagi memperluas promosi pelancongan domestik dan menggalakkan rakyat meneroka destinasi tempatan.
“Kerjasama dengan Tourism Malaysia dan rakan strategik yang lain juga penting bagi memperluas promosi pelancongan domestik serta mewujudkan pengalaman yang menarik kepada peserta,” kata beliau lagi.
Program ini turut memuatkan inisiatif MYDIN Prihatin denganperuntukan RM15,000 bagi mengagihkan 150 kotak makanan kepada keluarga golongan B40 di tiga kawasan terlibat, termasuk 50 keluarga di Melaka bagi pusingan pertama.
Bagi separuh pertama tahun 2026, Malaysia merekodkan 151.6 juta pelawat domestik berbanding 143.5 juta bagi tempoh sama tahun 2025, manakala jumlah perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 14 peratus kepada RM66.8 bilion.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































