RIYADH, 11 September 2026 — Tourism Malaysia memperkukuh kerjasama dengan pemain industri pelancongan Arab Saudi menerusi acara rangkaian industri di Riyadh, bagi meningkatkan promosi Malaysia sempena Visit Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).
Acara itu dihadiri Duta Malaysia ke Arab Saudi Dato’ Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman, Pengarah Tourism Malaysia Jeddah Zaidi Kassim serta lebih 80 rakan strategik daripada sektor perdagangan pelancongan dan media, termasuk Gulf Air, Saudia dan Almosafer.
Zaidi berkata Tourism Malaysia akan terus mempergiat promosi di Arab Saudi serta memperkukuh kerjasama dengan pemain industri tempatan, terutama dalam menghadapi kesan krisis geopolitik di Asia Barat.
“Arab Saudi kekal sebagai pasaran penting bagi Malaysia, khususnya segmen pelancong berbelanja tinggi dan keluarga,” katanya pada acara berkenaan.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, Malaysia merekodkan 17,302 pelawat dari Arab Saudi, sekali gus menunjukkan potensi negara itu sebagai pasaran jarak jauh bagi industri pelancongan Malaysia.
Menurut Tourism Malaysia, potensi itu turut disokong hubungan udara terus, hubungan dua hala yang kukuh serta peningkatan minat terhadap perjalanan antarabangsa.
Malaysia turut dipromosikan sebagai destinasi mesra Muslim dengan pelbagai kemudahan halal, warisan Islam, destinasi mesra keluarga, pengalaman pelancongan berbaloi serta produk ekopelancongan.
Usaha promosi itu termasuk pakej “Surreal Experiences”, selain kerjasama dengan syarikat penerbangan dan rakan perdagangan pelancongan bagi memperluas capaian Malaysia di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).
Zaidi turut menggesa rakan perdagangan pelancongan dan syarikat penerbangan memanfaatkan jaringan berkenaan untuk memperkukuh hubungan komersial serta meneroka peluang perniagaan baharu antara Malaysia dan Arab Saudi.
Acara di Riyadh itu merupakan sesi rangkaian industri kedua Tourism Malaysia di Arab Saudi selepas program libat urus di Jeddah pada Julai lalu.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































