“Pelita ku nyalakan, di halaman asmara ini” begitu bait dari lagu Halaman Asmara yang didendangkan oleh Ziana Zain dan Awie. Lagu ini kini menjadi malar segar dan sering diputarkan menjelang Aidilfitri. Begitu juga tradisi pelita ini.
Sudah menjadi tradisi untuk masyarakat Melayu menyalakan pelita bagi memeriahkan suasana rumah setiap kali Hari Raya Aidilfitri menjelma.
Biarpun pada hari ni pelbagai pelita moden menggantikan yang lama, pelita tradisional kekal dipilih untuk menghiasi laman-laman rumah kerana nostalgianya yang masih tak lapuk dek zaman.
Di beberapa tempat di Malaysia, pelita tradisional ini turut dikenali sebagai panjut.
Memasang pelita panjut yang bertenagakan minyak tanah dan diperbuat daripada buluh merupakan budaya komuniti desa untuk menerangi malam tujuh likur sejak sebelum 1990-an lagi.
Sering dikaitkan sebagai amalan bidaah, ada yang berpendapat bahawa pemasangan pelita ini berhubung dengan kedatangan Malam Seribu Bulan ataupun Lailatulqadar.
Namun demikian, ia sebenarnya bertujuan untuk menerangi penduduk kampung yang ingin bertahajjud di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan atas faktor kekurangan sumber cahaya pada waktu itu.
Kini, adat memasang panjut tidak semeriah dahulu namun masih boleh dilihat. Meskipun masyarakat sekarang cenderung menggunakan pelita berbahankan plastik dan lampu warna warni, terdapat segelintir yang masih meneruskan adat asal panjut.
Usaha untuk mengekalkan tradisi ini turut dimeriahkan melalui pertandingan dan pertunjukan panjut yang diadakan pada setiap tahun.
Popular di Perak, pertandingan membina reka bentuk panjut yang kreatif dan cantik acap kali memaut tumpuan khalayak ramai. Malah, penyertaan pertandingan tersebut turut memberangsangkan.
Pertunjukan seni panjut menyebabkan fungsi dahulunya untuk menyoroti kawasan kampung yang gelap beralih menjadi sebuah tarikan di negeri Perak.
Sehubungan dengan itu, usaha ini memberi peluang buat generasi sekarang untuk terus merasai keindahan tradisi pelita panjut melalui persembahan yang kreatif dan unik.
Acara-acara pelita panjut tahun ini:
1. Pelita Raya Terengganu 2023 (PELITER@KBT)
14 – 18 April 2023
Bertemakan “Comeynya Peliter” , tahun ini Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan menghidupkan kembali tradisi memasang pelita malam 7 likur disamping mempromosikan dan menawarkan pakej pelancongan tempatan yang melibatkan semua pejabat daerah.
Antara aktiviti menarik termasuklah pertandingan pelita raya, persembahan kebudayaan, demo dan jualan makanan tempatan, kraftangan dan macam-macam lagi.
Masuk: RM1 seorang. Percuma untuk kanak-kanak bawah 6 tahun, warga emas dan golongan kurang upaya.
Tempat: Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu
Masa: 9 malam – 11.30 malam
2. Panjut Kampung Ribu 2023
17 April 2023
Panjut Kampung Ribu adalah hasil kerjasama Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu, PIBG SK Ulu Ribu bersama masyarakat Kampung Ribu.
Kampung Ribu bakal mempersembahkan panjut unik yang bersaiz gergasi dengan kelebaran 15m dan tinggi mencecah 9m dengan rekabentuk bertemakan senibina Islam dan Alam Melayu.
Masuk: Percuma
Tempat: Padang Sekolah SK Ulu Ribu
Masa: Bermula 9 malam