Kuala Lumpur, 7 Jun 2024 – Sebagai salah satu usaha merangsang pelancongan antara Malaysia dan China, Trip.com Group dan Tourism Malaysia hari ini menandatangani Memorandum Kerjasama bagi mewujudkan kerjasama strategik dua hala pada 29 Mei 2024 semasa pameran perdagangan ITB China.
Kerjasama ini ditandatangani oleh Edison Chen, Naib Presiden Pemasaran Destinasi & Perikatan Strategik di Trip.com Group, dan Eric Choy, Ketua Pegawai Eksekutif Harley Travel Sdn Bhd, yang mewakili Tourism Malaysia.
Majlis menandatangani memorandum ini disaksikan oleh Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, dan Stephane Thong, Pengurus Besar Trip.com Malaysia.
Melalui Memorandum Kerjasama tiga tahun ini, kerjasama akan diperluaskan bukan sahaja di China, malah ke seluruh rantau Asia Pasifik. Inisiatif ini bertujuan untuk memanfaatkan sumber global Trip.com Group untuk menarik lebih ramai pelawat dari China dan antarabangsa ke Malaysia.
Strategi utama termasuk usaha pemasaran bersama yang memberi tumpuan kepada hotel dan tarikan pelancongan, dengan liputan lebih banyak kawasan di dalam Malaysia seperti Johor dan Sarawak.
Meraikan hubungan diplomatik
Bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia, Harley Travel akan bekerjasama dengan Trip.com dan Kementerian Pelancongan untuk mempertingkatkan promosi pelancongan antara kedua-dua negara, terutamanya dengan kelonggaran perjalanan tanpa visa antara China dan Malaysia; yang banyak memudahkan pergerakan pelancong dari dua negara ini.
Naib Presiden Pemasaran Destinasi & Perikatan Strategik di Trip.com Group, Edison Chen berkata, “Berdasarkan data kami, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Langkawi, dan Semporna adalah antara destinasi di Malaysia yang paling popular untuk pelancong di seluruh dunia. Malaysia menawarkan pelbagai pilihan pelancongan, dan walaupun pelancongan telah meningkat sejak susunan perjalanan tanpa visa dengan China, kami percaya masih banyak potensi untuk merangsang profil Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama. Trip.com Group komited untuk membantu industri pelancongan Malaysia berkembang bukan sahaja dalam jumlah keseluruhan, tetapi juga dalam menarik pelancong berkualiti.”
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy berkata, “Kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian dalam hubungan kami dengan Trip.com Group selama ini. Perjanjian kali ini untuk memperluaskan kerjasama ke seluruh Asia Pasifik menunjukkan kejayaan hubungan ini, dan kami teruja untuk bekerjasama dalam usaha mempromosikan pelancongan kami ke pasaran serantau lain dan menunjukkan apa yang Malaysia dapat tawarkan.”
Pelan strategik Tourism Malaysia
Tourism Malaysia baru-baru ini telah melancarkan pelan strategik “Visit Malaysia 2026,” yang bertujuan untuk menarik 35.6 juta pelancong antarabangsa dan menjana MYR147.1 bilion dari perbelanjaan pelancong. Pelan ini merangkumi inisiatif penjenamaan dan pemasaran, kerjasama strategik untuk promosi bersama, dan segmentasi pasaran untuk mencapai pelbagai demografi pelancong.
Trend pelancongan
Menurut data dari Trip.com Group, Malaysia merupakan destinasi pilihan bagi pelancong China. Semasa cuti Hari Pekerja yang lepas, Tawau, yang terkenal dengan pengeluaran koko dan pengalaman darat dan laut yang unik, berada dalam kalangan lima bandar Malaysia yang paling popular dikunjungi oleh pelancong China.
Kerjasama antara Trip.com Group dan Tourism Malaysia menandakan langkah penting dalam meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia Pasifik, menjanjikan pertumbuhan dan peluang baharu untuk industri pelancongan negara.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































