BANTING, 5 Mei 2023 (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan soal tuntutan saman fitnah yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk diuruskan oleh pihak peguamnya.
“Biar peguam jalankan (tanggungjawabnya),” katanya mengulas ringkas pertanyaan pemberita berhubung tuntutan saman berkenaan.
Dr Mahathir hari ini mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan perdana menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lalu.
Tuntutan saman berkenaan difailkan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa pada 18 Mac lepas, Pengerusi Pakatan Harapan itu telah memberikan ucapan di kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam dan telah mengeluar beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.
Menurut Dr Mahathir antaranya termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.
Dakwa Dr Mahathir, kenyataan-kenyataan itu adakah tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas perdana menteri.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM50 juta, ganti rugi teladan berjumlah RM100 juta dan perintah supaya defendan dengan serta-merta menarik balik ke semua kenyataan-kenyataan fitnah.
Katanya program itu juga telah dipaparkan secara siaran langsung di akaun Facebook ‘Anwar Ibrahim’ dan di Saluran Youtube ‘Parti Keadilan Rakyat’ selain klip-klip video atau laporan media mengenai kenyataan-kenyataan defendan telah ditonton atau disebar luas ke pelbagai rangkaian media massa serta media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tiktok dan Youtube.
Sehubungan itu beliau turut memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan ke semua kenyataan di media sosial atau media elektronik selain memohon perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif dan relif lain yang difikirkan sesuai.
Kes ditetapkan untuk pengurusan kes menerusi e-Review di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Jamhirah Ali pada 31 Mei ini.
Perdana Menteri, sebelum itu, meluang masa untuk makan tengah hari bersama rakyat setempat di Restoran Selera Tujuh, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor Borhan Aman Shah yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek As-solihin, Kampung Kanchong Darat dan turut mendengar khutbah, bertajuk ‘Adab Bertamu Ketika Berpuasa’ bersama jemaah yang disampaikan Imam masjid berkenaan Rumaizi Ahmad.
— BERNAMA