LONDON/KUALA LUMPUR, 9 September 2026 – Britain, Perancis dan Kanada pada Selasa mengumumkan rancangan melarang import barangan dari penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, dalam tindakan bersepadu yang menurut mereka bertujuan melindungi prospek penyelesaian dua negara.
Ketiga-tiga negara itu menyertai negara lain termasuk Ireland, Sepanyol, Norway, Belgium, Belanda, Denmark, Finland, Iceland, Poland, Portugal dan Sweden dalam kenyataan bersama yang menyatakan tindakan Israel di Tebing Barat semakin menjejaskan prospek keamanan.
Setiausaha Luar Britain Ed Miliband memberitahu Parlimen bahawa UK akan memperkenalkan larangan import barangan dari penempatan haram Israel selain mewujudkan rejim sekatan baharu terhadap syarikat dan individu yang terbabit dalam pembinaan, infrastruktur, pembiayaan atau hartanah yang berkaitan dengan peluasan penempatan.
Britain turut akan melarang pengiklanan penempatan berkenaan dan secara rasmi mengisytiharkan pendudukan Israel di Tebing Barat sebagai tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Menteri Luar Perancis Jean-Noël Barrot berkata Perancis akan “menamatkan perdagangan” dengan penempatan berkenaan, dengan memetik “perluasan secara agresif” serta peningkatan keganasan oleh peneroka ekstremis terhadap rakyat Palestin.
Kanada pula mengesahkan akan memperkenalkan sekatan nasional yang sama dalam beberapa bulan akan datang.
Pengumuman itu dibuat ketika kebimbangan antarabangsa semakin meningkat berhubung peluasan penempatan haram Israel, termasuk rancangan membina 1,200 unit kediaman baharu di kawasan E1, di timur Baitulmaqdis.
Pembangunan di kawasan berkenaan dikritik kerana berpotensi memutuskan hubungan Tebing Barat dengan Baitulmaqdis Timur, sekali gus menjejaskan prospek penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaya maju.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata pembinaan di kawasan E1 akan memisahkan Tebing Barat dan menjejaskan prospek pembentukan negara Palestin. BERNAMA turut melaporkan bahawa penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Ketiga-tiga negara itu turut menyatakan bahawa keganasan oleh peneroka Israel terhadap rakyat Palestin telah mencapai tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Israel kecam tindakan
Menteri Luar Israel Gideon Saar mengecam langkah berkenaan sebagai “terpesong dari segi moral” dan “campur tangan secara terang-terangan”.
Sebagai tindak balas, Israel berkata ia akan menutup konsulat Britain di Baitulmaqdis Timur yang ditauliahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin.
Israel turut merancang beberapa langkah balas lain, termasuk mengehadkan kemasukan pegawai Britain tertentu serta menamatkan beberapa bentuk kerjasama dengan UK.
Presiden Israel Isaac Herzog pula menyifatkan keputusan berkenaan sebagai “kesilapan perhitungan besar” yang menurutnya akan meletakkan negara terbabit di pihak yang salah dalam catatan sejarah.
Kesan ekonomi terhad
Walaubagaimanapun kesan ekonomi daripada larangan itu dijangka terhad memandangkan eksport dari penempatan haram Israel hanya merangkumi sebahagian kecil daripada keseluruhan perdagangan Israel.
Produk eksport dari penempatan berkenaan termasuk hasil pertanian seperti kurma, buah sitrus, herba dan wain.
Perdagangan UK dengan wilayah Palestin yang diduduki pula bernilai kira-kira £38 juta (RM210 juta) pada 2025.
Selari pendirian Malaysia
Tindakan bersepadu itu selari dengan pendirian dasar luar Malaysia yang sekian lama menyokong hak rakyat Palestin dan penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967.
Malaysia tidak pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel dan secara konsisten menyokong usaha antarabangsa untuk menamatkan pendudukan Israel serta membendung peluasan penempatan haram Israel di wilayah Palestin.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menolak rancangan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk peluasan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Tindakan bersepadu tiga negara anggota G7 itu, bersama beberapa negara Eropah, dilihat sebagai perkembangan diplomatik penting yang meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap aktiviti penempatan haram Israel, meskipun kesan perdagangan secara langsung dijangka kecil.
Larangan berkenaan dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk dilaksanakan sepenuhnya.
Britain menganggarkan antara enam hingga sembilan bulan diperlukan bagi melaksanakan rejim sekatan komprehensif itu, manakala beberapa negara lain turut dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah yang sama.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































