KUALA LUMPUR, 2 April 2026 — Jenama pakaian sukan global, Under Armour dengan kerjasama Ciphr bakal menganjurkan “Velociti”, sebuah perlumbaan larian stadium sejauh satu batu (1.61 kilometer) berintensiti tinggi di Arena Sukan KL pada 11 April ini.
Berbeza dengan acara larian maraton konvensional, Velociti mengembalikan nostalgia acara balapan klasik yang secara tuntas menguji kepantasan, kuasa, dan ketepatan rentak peserta di bawah limpahan lampu stadium.
Perlumbaan yang dijadualkan berlangsung dari jam 5 petang hingga 10 malam itu dijangka menghimpunkan sehingga 200 pelari berumur 16 tahun dan ke atas.
Peserta akan bersaing dalam pusingan saringan berperingkat, di mana kelompok pelari terpantas akan mara ke pusingan akhir bagi merebut kedudukan di podium untuk kategori Lelaki dan Wanita.
Lebih menarik, juara perlumbaan bukan sahaja membawa pulang gelaran, malah bakal memenangi tajaan penuh untuk menyertai perlumbaan antarabangsa di luar negara yang merangkumi tiket penerbangan, yuran penyertaan, dan set kelengkapan sukan Under Armour.
Bagi menyemarakkan lagi acara yang bakal berlangsung, Ciphr sebelum ini telah mula menganjurkan sesi latihan berstruktur bagi mempersiapkan para pelari dan atlet hibrid, sekali gus menyokong pembentukan komuniti larian berprestasi tinggi di Malaysia.
Penganjuran Velociti ini juga menjadi platform strategik bagi Under Armour untuk memperluas pengaruh jenamanya dalam kategori sukan larian dengan mempamerkan produk berprestasi tinggi mereka dalam persekitaran persaingan yang sebenar.
Melangkah ke hadapan, Velociti menyasarkan untuk menjadi sebuah acara perlumbaan berskala besar yang terus berkembang seiring dengan budaya sukan olahraga di Malaysia, dengan mengekalkan larian satu batu sebagai acara kemuncaknya.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































