Semangat kerjasama serantau ASEAN terus diperkukuh melalui pelaksanaan Program Mobiliti Antarabangsa yang membabitkan kerjasama antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universitas Harapan Medan (UNHAR). Program ini dijalankan pada 16 dan 17 Mei 2025 bertempat di Kampung Kolam Dusun Jandi Mulia, Langkat, Indonesia. Mengangkat tema kelestarian TVET membantu kesejahteraan masyarakat.
Program bermula dengan aktiviti pemasangan 10 unit lampu solar oleh mahasiswa UniMAP dan mahasiswa UNHAR di beberapa lokasi strategik di kampung berkenaan. Inisiatif ini bertujuan memperkasakan infrastruktur di kampung dan desa sekaligus menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Disamping bertujuan untuk membantu penduduk menikmati kemudahan pencahayaan, meningkatkan tahap keselamatan, serta merasi teknologi lebih mesra alam dan sekaligus menjimatkan tenaga.
Program diteruskan dengan bengkel robotik yang dikendalikan juga oleh mahasiswa UniMAP dengan kerjasama mahasiswa UNHAR serta disokong oleh Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektronik (FKTEN), Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (Advanced Computing), dan IEEE Malaysia AP/MT/EMC Joint Chapter. Dekan FKTEN UniMAP, PM Ir Ts Dr Razaidi Husin percaya bahawa bengkel seumpama ini dapat menarik minat pelajar sekolah dan belia kampung dengan memberi pendedahan awal tentang konsep asas robotik dan pengaturcaraan. Aktiviti ini bertujuan menyemai minat terhadap bidang STEM dalam kalangan generasi muda tempatan.
Ketua pasukan robotik, Ts.Dr Iszaidy Ismail berkata, “Pendidikan teknologi merentasi sempadan ini adalah cerminan nilai ASEAN yang sebenar di mana negara-negara anggota berganding bahu untuk membangunkan masyarakat melalui ilmu dan inovasi.” Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada penduduk setempat dan pimpinan kampung. Ketua Kampung, Ustaz Redha menyifatkan inisiatif ini sebagai simbol persahabatan dan solidariti antara Malaysia dan Indonesia yang telah lama terjalin.
“Kami sangat menghargai kehadiran pensyarah dan mahasiswa dari Malaysia. Mereka bukan sahaja membawa ilmu, tetapi juga membawa semangat kekitaan yang menjadi asas kepada perpaduan ASEAN,” katanya. Program yang melibatkan seramai 15 pensyarah gabungan dari UniMAP dan UNHAR serta 25 orang mahasiswa ni diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi rentas negara ASEAN, khususnya dalam bidang pendidikan, teknologi dan pembangunan komuniti.




Prof. Madya Ts. Dr Nashrul Fazli Mohd Nasir adalah seorang pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).











































