KUALA LUMPUR, 8 April 2026 — University of London hari ini melancarkan program mikro-kelayakan pascasiswazah dalam talian sepenuhnya khusus untuk pelajar di Malaysia, yang menawarkan laluan pembelajaran fleksibel bagi menyokong keperluan pembelajaran sepanjang hayat.
Disampaikan melalui Global Digital Campus milik universiti berkenaan, program ini membolehkan pelajar, khususnya golongan profesional, untuk menyambung pengajian mengikut rentak sendiri tanpa kekangan geografi mahupun jadual tetap, tanpa perlu menghadiri kelas secara fizikal.
Menariknya, sistem pembelajaran ini bersifat modular dengan lapan program mikro-kelayakan ditawarkan buat masa ini. Tiga daripadanya menumpukan kepada pengurusan kewangan di bawah bimbingan akademik University College London (UCL), manakala lima lagi memfokuskan kepada pengurusan rantaian bekalan global seliaan City St George’s.
Setiap program membawa 15 kredit pascasiswazah yang boleh dikumpul (stackable) bagi melayakkan pelajar mengikuti program pascasiswazah yang diiktiraf atau dipindahkan ke program ijazah University of London kelak.
Timbalan Naib Canselor University of London, Profesor David Latchman CBE berkata, program ini direka bagi membolehkan pelajar mengawal pendidikan mereka sendiri, memberikan akses kepada pembelajaran bertaraf dunia tanpa syarat kemasukan tradisional yang rumit.
“Pendekatan fleksibel ini selari dengan penekanan Malaysia terhadap usaha meningkatkan kemahiran secara berterusan serta menyokong pelan tindakan ekonomi digital negara, MyDIGITAL, untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin berkembang,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sistem penilaian program ini juga dilaksanakan secara atas permintaan (on-demand) bagi memudahkan pelajar mengimbangi tuntutan kerjaya dan komitmen peribadi tanpa terikat dengan kalendar akademik yang ketat.
Sehingga kini, University of London memiliki rekod yang kukuh di Malaysia dengan lebih 16,000 alumni serta 3,000 pelajar aktif yang sedang mengikuti pengajian secara dalam talian atau melalui pusat pengajaran yang diiktiraf di negara ini.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































