TANJONG MALIM, 7 Mei 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan CIMB Islamic melancarkan kerjasama strategik bagi memperkasa UPSI Edu-Forest di Behrang menerusi penyaluran dana EcoSave-i berjumlah RM500,000 untuk menyokong pelbagai usaha pemuliharaan biodiversiti, pendidikan alam sekitar, serta pembangunan komuniti lestari di kawasan tersebut.
Dana berkenaan disalurkan bagi menyokong pelaksanaan program berimpak tinggi di UPSI Edu-Forest yang kini diuruskan oleh Pusat Biodiversiti dan Konservasi (CeBEC) dengan sokongan Unit Transformasi Komuniti Universiti (UCTC). Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersepadu antara pihak universiti, industri, dan komuniti dalam memperkukuh agenda kelestarian serta pendidikan berasaskan alam semula jadi.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata majlis pelancaran tersebut bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan pelbagai program penting seperti pendidikan biodiversiti, sains komuniti, inovasi hijau, dan dokumentasi khazanah alam.
“Saya amat berharap kerjasama strategik ini akan terus diperkukuh dan diperluas pada masa hadapan, seterusnya menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta memperkukuh peranan UPSI sebagai peneraju pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar di Malaysia,” kata beliau ketika berucap pada majlis tersebut di Sungai Dara, Behrang, baru-baru ini.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan teknikal daripada Forest House Sdn Bhd yang memainkan peranan utama dalam aktiviti lapangan serta pengukuhan ekosistem konservasi di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi CIMB Islamic, Datin Azlina Mahmad, berkata sebagai institusi kewangan Islam, pihak mereka melihat kelestarian sebagai tanggungjawab bersama demi kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar. Menurut beliau, UPSI Edu-Forest berfungsi sebagai ruang pembelajaran dan penyelidikan yang turut menjadi platform bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan biodiversiti.
Pembangunan infrastruktur seperti menara tinjau, dek pemerhatian, denai hutan, dan aktiviti penanaman semula turut membuka ruang penglibatan kepada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta. Selain itu, projek ini memberi peluang kepada komuniti Orang Asli setempat untuk terlibat dalam pembinaan denai pembelajaran serta pengurusan nurseri bagi membantu menjana pendapatan mereka.
“Kita bukan sekadar membina sebuah hutan pembelajaran, tetapi membangunkan ekosistem ilmu yang menghubungkan manusia, alam, dan masa depan,” kata Datin Azlina lagi.
Pengarah Urusan Forest House Sdn Bhd, Rayman Ariff Soh, pula menjelaskan bahawa UPSI Edu-Forest mempunyai potensi besar sebagai tapak penyelidikan yang mampan. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuklah pembinaan denai pembelajaran bersama komuniti Orang Asli Kampung Tibang, bancian pokok, serta kutipan biji benih bagi memastikan impak konservasi jangka panjang.
UPSI Edu-Forest yang terletak di Hutan Simpan Behrang meliputi kawasan seluas 25 ekar dan mempunyai status perlindungan sebagai Hutan Simpanan Kekal. Ia juga merupakan komponen penting dalam Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang menghubungkan kawasan hutan utama di Malaysia.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































