PULAU REDANG, 9 Ogos 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila mengadakan majlis persaraan bawah laut pertama di Malaysia, yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR). Acara unik itu dianjurkan oleh Pusat Alumni UPSI bagi meraikan Cikgu Aznan Abas, pendidik berpengalaman lebih 30 tahun di Terengganu yang terkenal dengan kepakaran dalam pendidikan luar dan rekreasi.
Majlis bersejarah itu berlangsung di dasar laut Pulau Redang, dengan Cikgu Aznan lengkap berbaju tema Melayu melakukan aksi simbolik memasukkan kad buat kali terakhir ke dalam mesin pengetik waktu di hadapan latar banner khas yang dipasang di dasar laut.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, berkata penganjuran majlis tersebut membuktikan UPSI berinovasi dalam menghargai jasa warga pendidik. Menurutnya, penghargaan tidak semestinya dilakukan secara formal di dewan, sebaliknya boleh diraikan secara kreatif sehingga memberi impak mendalam kepada masyarakat.
“Ia juga mengangkat martabat profesion perguruan dan memupuk rasa bangga dalam kalangan alumni serta komuniti pendidikan terhadap UPSI. Pengiktirafan MBR ini mengukuhkan lagi jenama UPSI sebagai institusi pendidikan yang bukan sahaja unggul dalam akademik, tetapi juga kreatif dan progresif dalam meraikan pencapaian warganya,” katanya.
Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said, pula berkata pihaknya komited menganjurkan acara berimpak tinggi yang memberi inspirasi dan mengekalkan hubungan erat antara alumni dan universiti.
“Kami mahu setiap penghargaan dirancang dengan teliti, unik, dan menyentuh hati agar alumni berasa dihargai melalui pengalaman yang memberi kenangan mendalam,” katanya lagi.
Pengiktirafan rasmi daripada MBR disampaikan oleh wakilnya, Siti Nurhanim Mohd Noh, dalam satu majlis ringkas yang dihadiri alumni, pegawai Jabatan Taman Laut Malaysia, penyelam profesional, dan rakan-rakan Cikgu Aznan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































