TANJUNG MALIM, 19 Mac 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kepakarannya dalam bidang keusahawanan dan kelestarian melalui Projek Penternakan dan Pengkomersialan Madu Kelulut, yang dilaksanakan di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Lumut.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata projek ini merupakan manifestasi kepakaran UPSI dalam menerapkan elemen keusahawanan dan inovasi dalam pendidikan serta komuniti. Projek yang bermula sejak Julai 2024 ini bertujuan membantu komuniti memperoleh kemahiran serta menjana pendapatan melalui penternakan lebah kelulut secara sistematik dan terkawal.
“UPSI tidak hanya menumpukan kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga mahu memastikan ilmu yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam bentuk aplikasi yang memberi manfaat kepada masyarakat. Projek penternakan dan pengkomersialan madu kelulut ini adalah salah satu contoh bagaimana universiti menyumbang kepada pembangunan komuniti dan ekonomi negara,” kata beliau lagi.
Kolaborasi akademik dan industri
Projek ini melibatkan lapan mahasiswa dan dua kakitangan UPSI, diketuai oleh Dr. Mohd Syariefudin Abdullah dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), dengan dana permulaan sebanyak RM40,000 yang diperoleh melalui geran pemula daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dan Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE).
Dr. Mohd Syariefudin menegaskan bahawa projek ini bukan sahaja melatih mahasiswa dalam teknik penternakan lebah kelulut, malah mendedahkan mereka kepada teknologi terkini dalam industri madu kelulut serta aspek pemasaran dan strategi perniagaan. Pendedahan ini termasuk memahami keseluruhan rantaian nilai industri bermula dari proses penuaian hingga ke pemasaran produk, memberikan kelebihan apabila menceburi dunia pekerjaan atau keusahawanan.
Latihan dan pengkomersialan produk
Pengetua UKLK UPSI, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, berkata terdapat empat siri bengkel latihan yang merangkumi pemilihan dan pemotongan log, pemasangan topping, pemantauan serta penyelenggaraan log kelulut sehingga proses penuaian madu.
“Sebagai langkah pengkomersialan, madu kelulut yang dihasilkan akan melalui proses pelabelan, pembungkusan dan pemasaran menerusi platform digital, meningkatkan nilai pasaran dan daya saing produk tempatan,” kata beliau lagi.
Sumbangan kepada ekonomi dan pembangunan masyarakat
Projek ini bukan sahaja memberi impak kepada komuniti setempat tetapi turut mengubah persepsi masyarakat terhadap sektor pertanian moden sebagai satu cabang ekonomi berdaya maju. Ia juga seiring dengan usaha kerajaan dalam mencipta peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi negara.
Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani, projek ini memberi manfaat berganda kepada UPSI dalam melahirkan mahasiswa holistik berciri keusahawanan serta memperkukuh keyakinan organisasi luar terhadap kepakaran akademik UPSI dalam pembangunan produk dan perkhidmatan. Pada 25 Februari 2025, wakil KPT telah melakukan lawatan pemantauan ke tapak projek dan berpuas hati dengan kemajuan serta pelaksanaan projek yang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.