TANJONG MALIM, 11 Ogos 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang meneroka potensi penubuhan sebuah hospital pakar swasta di Tanjong Malim bagi memperkukuh kemudahan kesihatan serta menyokong pembangunan ekosistem bandar ilmu berkenaan.
Inisiatif tersebut bertujuan menampung keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat berikutan pertumbuhan jumlah pelajar dan staf antarabangsa di universiti itu.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan strategik universiti bagi menyediakan kemudahan sokongan yang selari dengan perkembangan semasa dan keperluan komuniti setempat.
Pengarah dan pengurusan UPSI kini sedang menilai potensi kerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan kesihatan swasta bagi menentukan model perniagaan yang sesuai.
“Kita sedang berusaha untuk mendapatkan mana-mana hospital swasta, hospital spesialis swasta untuk beroperasi di Tanjong Malim ataupun dalam tanah kita di UPSI. Kita sedang melihat bagaimana model perniagaannya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Budiman dan Sesi Clock Out Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof. Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini.
Menurut beliau lagi, UPSI turut merancang pembangunan kemudahan persaraan seperti resort persaraan di Tanjong Malim bagi membolehkan bekas warga universiti kekal berhubung dengan pihak kampus pada masa hadapan.
Dalam majlis sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Prof. Dr. Abdul Talib atas jasa dan pengorbanan beliau sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat di universiti berkenaan. “Jasa dan pengorbanan Abdul Talib akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah pembangunan UPSI,” kata beliau lagi.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































