Keputusan permohonan UPU 2025 yang diumumkan baru-baru ini menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupan lebih 214,000 lepasan SPM di seluruh negara yang telah memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Daripada jumlah ini, seramai 159,027 calon telah berjaya ditawarkan tempat, mencatatkan kadar penerimaan sekitar 74 peratus daripada jumlah permohonan yang layak.
Bagi sesetengah pelajar, keputusan ini merupakan pencapaian yang dinanti-nantikan, terutama mereka yang berjaya memperoleh tempat dalam program pilihan pertama. Namun, tidak kurang juga yang mula berdepan dilema sama ada program yang ditawarkan benar-benar mencerminkan minat dan cita-cita mereka.
Minat dan realiti pasaran
Setiap tahun, ribuan pelajar berhadapan dengan persoalan besar dalam hidup mereka: patutkah mereka mengikut minat sepenuhnya atau menerima tawaran dalam bidang yang lebih menjamin kebolehpasaran kerja? Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa bidang seperti teknologi maklumat, kejuruteraan dan pendidikan teknikal vokasional (TVET) mencatatkan permintaan tinggi dalam pasaran kerja. Dalam masa yang sama, bidang tradisional seperti pengurusan, kesusasteraan dan seni tetap memerlukan pelajar yang benar-benar berjiwa kental untuk mencipta laluan kerjaya tersendiri.
Sokongan dan panduan
Dalam situasi ini, peranan ibu bapa dan guru amat penting. Pendedahan awal terhadap dunia kerjaya, lawatan industri serta sesi kaunseling pendidikan dapat membantu pelajar menilai kesesuaian program dengan kekuatan dan minat diri. Tambahan pula, pelajar kini mempunyai pelbagai pilihan dalam melanjutkan pelajaran termasuk institusi swasta, program TVET, atau mengambil semula peperiksaan untuk mencuba semula.
Untuk anak muda, UPU bukan penentu mutlak masa depan seseorang, tetapi merupakan salah satu laluan awal ke arah pembinaan kerjaya. Sama ada laluan itu mencerminkan minat peribadi atau merupakan peluang baharu yang tidak dijangka, masa depan tetap dibentuk melalui usaha, kesungguhan dan ketekunan diri.
Yang penting, pelajar perlu percaya bahawa setiap peluang yang datang membawa hikmah tersendiri. Rezeki tidak pernah salah alamat, dan setiap langkah yang diambil dengan ikhlas dan gigih pasti membuahkan hasil pada waktunya.
Nurul Nadiah Ahmad merupakan seorang Pensyarah Kanan di Uniten Business School, Universiti Tenaga Nasional.














































