PULAU PINANG, 6 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menjana projek kerjasama inovasi bernilai RM1.2 juta bersama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi penganjuran SME Innovation Day 2026 yang berlangsung di Auditorium Murad, SAINS@USM, Bukit Jambul, di sini hari ini.
Program berimpak tinggi anjuran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM itu turut menyaksikan pelancaran Enterprise Innovation Platform (EIP) berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan pemadanan kepakaran akademik dengan keperluan industri secara digital.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata pencapaian projek kerjasama berkenaan mencerminkan keyakinan sektor industri terhadap kemampuan universiti dalam menyediakan penyelesaian berasaskan penyelidikan.
“Penganjuran SME Innovation Day 2026 dan pencapaian RM1.2 juta nilai projek kerjasama membuktikan keyakinan tinggi sektor industri terhadap kemampuan USM dalam menyediakan penyelesaian praktikal berasaskan penyelidikan,” kata beliau.
“Melalui pengenalan Enterprise Innovation Platform (EIP) berkuasa AI, kami mendigitalkan pengurusan jaringan industri untuk membolehkan pemadanan kepakaran berlaku dengan lebih pantas, sistematik, dan berasaskan data demi melonjakkan daya saing SME tempatan ke peringkat antarabangsa,” kata beliau lagi.
Penganjuran acara berkenaan menghimpunkan lebih 150 wakil industri dan pakar akademik bagi meneroka kolaborasi strategik merangkumi bidang digitalisasi, automasi kejuruteraan, pembangunan produk, latihan kepimpinan, serta pengujian dan pensijilan teknikal.
Menerusi penggunaan platform EIP, cabaran perniagaan dan profil PKS dapat dipadankan secara automatik dengan pakar penyelidik universiti, sekali gus membina pangkalan data strategik bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































