KUALA LUMPUR, 11 Mac 2026 – Penyedia infrastruktur digital kritikal, Vertiv hari ini melancarkan sistem bekalan kuasa tidak terganggu (UPS) gred perindustrian, Vertiv PowerUPS 6000 Industrial, bagi menawarkan perlindungan tenaga yang berterusan untuk pasaran komersial dan perindustrian.
Penyelesaian terbaharu ini direka khusus untuk menyokong kesinambungan operasi sektor berisiko tinggi dan jentera intensif termasuk pembuatan, pengangkutan, minyak dan gas, farmaseutikal, makanan dan minuman, serta keluli.
Naib Presiden Penukar Kuasa Modular Vertiv, Greg Funk berkata, persekitaran perindustrian sering berdepan ketidakstabilan elektrik, suhu ekstrem dan bahan cemar bawaan udara yang tidak mampu ditampung oleh sistem UPS tradisional.
Menurut beliau, Vertiv PowerUPS 6000 Industrial dibangunkan khusus untuk aplikasi Industri 4.0 bagi memberikan prestasi yang boleh dipercayai di sebalik keadaan sukar yang boleh mengakibatkan masalah turun naik kuasa di lantai kilang, loji penapisan dan barisan pengeluaran.
Sistem UPS berkenaan dilengkapi dengan penarafan perlindungan kemasukan (IP42) yang dibina untuk menahan pendedahan terhadap debu, kelembapan dan suhu ambien sehingga 50 darjah Celsius. Keupayaan ini bertujuan melindungi sistem kawalan perindustrian kritikal seperti sistem Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA), peralatan rangkaian industri dan automasi pengeluaran.
Dari segi reka bentuk fizikal, kabinetnya yang padat serta keupayaan pemasangan melalui akses bahagian hadapan sahaja direka bagi memudahkan proses pelaksanaan dan penyelenggaraan di ruang yang terhad.
Sistem ini turut mencapai tahap kecekapan tenaga sehingga 96 peratus dalam mod penukaran ganda dua dan 99 peratus dalam mod mesra alam (ECO), selain serasi dengan pelbagai jenis kabinet bateri seperti asid plumbum terkawal injap (VRLA), nikel-kadmium (Ni-Cd) dan litium-ion (Li-ion) bagi memenuhi keperluan jangka masa operasi yang pelbagai.
Bagi menampung permintaan infrastruktur berskala besar, sistem ini menguruskan turun naik kuasa dengan julat voltan input yang luas serta memberikan kuasa terawat dengan herotan harmonik yang rendah.
Pengarah Kuasa AC dan Pengagihan Kuasa Vertiv Asia, Arunangshu Chattopadhyay menjelaskan bahawa tahap automasi yang semakin meningkat di seluruh rantau Asia telah meningkatkan kepekaan persekitaran pengeluaran terhadap masalah gangguan kuasa elektrik.
“Penyelesaian ini membolehkan pengendali perindustrian di seluruh Asia mengekalkan integriti sistem, melindungi pelaburan automasi dan memastikan masa beroperasi sentiasa berterusan di kemudahan yang saling berhubung,” jelasnya dalam kenyataan yang sama.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































