KUALA LUMPUR, 7 April 2025 – Malaysia kekal sebagai pilihan utama dalam kalangan penyelam skuba tempatan, walaupun Indonesia tersenarai sebagai destinasi paling popular untuk aktiviti itu di Asia, menurut Tinjauan Tawaran Selam Skuba 2025 oleh platform pelancongan digital Agoda.
Tinjauan yang melibatkan 850 penyelam skuba dari 11 pasaran Asia termasuk Malaysia, Jepun, India dan Indonesia itu mendedahkan bahawa Asia Tenggara kekal sebagai pusat tarikan utama penyelam skuba berikutan kekayaan biodiversiti marin dan keindahan terumbu karangnya.
Indonesia, yang terkenal dengan kepelbagaian ekosistem lautnya, berada di tangga teratas sebagai destinasi pilihan penyelam Asia, mengatasi Filipina, Thailand, Malaysia dan Vietnam. Namun begitu, majoriti rakyat Malaysia lebih mengutamakan keindahan perairan negara sendiri sebagai lokasi utama untuk menyelam, mendahului destinasi serantau lain.
Tinjauan itu juga mendapati hampir satu pertiga penyelam (30%) memilih aktiviti menyelam sebagai cara untuk berehat dan melepaskan tekanan, khususnya dalam kalangan responden dari Malaysia, Filipina dan Thailand. Selain itu, 24% tertarik dengan peluang meneroka hidupan laut yang unik dan berwarna-warni.
Dari segi perbelanjaan, walaupun kos penginapan menjadi faktor utama dalam membuat pilihan percutian, 40% responden bersedia berbelanja 15 hingga 30 peratus lebih tinggi bagi percutian menyelam berbanding percutian biasa.
Bagi tempoh percutian, hampir separuh daripada penyelam (48%) memilih tempoh 4 hingga 7 hari, manakala 41% pula memilih percutian hujung minggu. Ini menunjukkan peningkatan minat terhadap percutian singkat tetapi padat dengan aktiviti air.
Terumbu karang pula kekal sebagai tarikan utama dengan 75% responden menyatakan minat untuk menyelam di kawasan tersebut, menjadikan terumbu karang sebagai elemen penting dalam pemilihan lokasi.
Pengarah Negara untuk Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata, “Rantau Asia mempunyai banyak destinasi selam skuba yang paling popular di dunia dan kekal menjadi kegemaran dalam kalangan penyelam. Di Agoda, kami bersemangat untuk membantu pelancong memperolehi pengalaman yang menakjubkan ini. Dengan menawarkan tawaran hebat untuk penginapan, penerbangan, dan aktiviti liburan, kami berusaha untuk menjadikan pengembaraan ke dasar laut lebih mudah dengan harga berpatutan untuk semua.”
Bagi menyokong minat terhadap aktiviti ini, Agoda turut melancarkan program Scuba Deals bermula 1 April. Program ini menawarkan diskaun tambahan sebanyak 10% untuk hotel yang mengambil bahagian di destinasi menyelam di seluruh Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi www.agoda.com/scubadeals .
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.