Kuala Lumpur, 11 Jun 2026 – Pengeluar biojisim tempatan, Weng Yat Resources Sdn Bhd, memeterai perjanjian untuk membangunkan platform bekalan biojisim ke Jepun dengan sasaran menjana hasil tahunan melebihi RM60 juta apabila eksport komersial dilaksanakan sepenuhnya.
Penghantaran komersial dijangka bermula pada Januari 2027 selepas syarikat itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Jepun, Daya Synergy Borneo Co Ltd (DSB), bagi memperkukuh rantaian bekalan bahan api biojisim untuk menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui dan penyahkarbonan Jepun.
Pengarah Eksekutif Weng Yat Resources, Sunderaj Nagalingam, berkata perjanjian bekalan jangka panjang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini, didahului penghantaran percubaan sebanyak 10,000 tan metrik pelet kayu yang akan dilaksanakan tahun ini.
“Perjanjian bekalan jangka panjang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini, dengan penghantaran komersial bermula pada Januari 2027. Ini susulan penghantaran percubaan awal 10,000 tan metrik pelet kayu yang akan dilaksanakan tahun ini,” katanya pada majlis pemeteraian perjanjian itu.
Beliau berkata syarikat turut menyasarkan untuk menguasai lima peratus daripada pasaran import biojisim Jepun dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Inisiatif itu dijangka menyokong sektor penjanaan tenaga biojisim Jepun yang bergantung kepada import bahan api seperti pelet kayu, tempurung isirung sawit (PKS) dan pelet Tandan Kosong Kelapa Sawit (EFB).
Permintaan biojisim di Jepun dianggarkan mencecah kira-kira tujuh juta tan PKS dan sembilan juta tan pelet kayu setahun, manakala pelet EFB dilihat sebagai segmen yang semakin berkembang berikutan faktor kos dan ketersediaan bahan mentah.
Menerusi kerjasama tersebut, DSB akan membantu memudah cara akses Weng Yat Resources ke pasaran Jepun melalui rangkaian sedia ada bersama pedagang biojisim dan pengeluar tenaga yang dibangunkan menerusi aktiviti eksport PKS dari Sabah.
DSB juga terlibat dalam beberapa projek pembangunan tenaga, termasuk cadangan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 megawatt di Hokkaido, Jepun, yang dianggarkan bernilai AS$300 juta.
Weng Yat Resources mengendalikan kemudahan pengeluaran biojisim di seluruh Malaysia dan membekalkan produk kepada pelanggan industri serta pembeli antarabangsa. Strategi bekalan bahan mentah syarikat disokong oleh perjanjian jangka panjang dengan 24 kilang kelapa sawit di seluruh negara yang mampu membekalkan kira-kira satu juta tan metrik EFB setahun.
Menurut Sunderaj, perjanjian itu mencerminkan usaha syarikat untuk menukarkan bahan biojisim kepada produk bahan api bernilai tinggi untuk pasaran eksport.
“Pelbagai projek sedang dilaksanakan pada peringkat berbeza, daripada pembinaan hinggalah pemasangan peralatan. Tumpuan kami kekal kepada usaha menjadikan bahan biojisim yang sebelum ini dianggap sisa sebagai produk bernilai tambah,” katanya.
Sementara itu, Wakil Pengarah DSB, Hideki Takizawa, berkata kerjasama tersebut membuka peluang kepada hubungan jangka panjang antara pembekal Malaysia dan pembeli Jepun dalam sektor biojisim.
“Hari ini bukan sekadar pemeteraian MoU, tetapi permulaan kepada hubungan baharu yang dibina atas kepercayaan, saling menghormati dan visi bersama. Kami yakin DSB mampu menjadi jambatan antara Weng Yat Resources dan pasaran Jepun, bukan sahaja dalam perdagangan PKS, pelet kayu dan pelet EFB, malah dalam meneroka peluang perniagaan lain pada masa depan,” katanya.
Ditubuhkan pada 2007, Weng Yat Resources terlibat dalam pengeluaran biojisim serta aktiviti industri lain termasuk automotif dan perancah, dengan perolehan gabungan kira-kira RM150 juta.
Kumpulan itu mengendalikan kemudahan biojisim di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Kilangnya di Tronoh, Perak menghasilkan kira-kira 6,000 tan metrik pelet kayu setiap bulan, manakala pelan pengembangan syarikat merangkumi pembinaan barisan pengeluaran pelet EFB baharu berkapasiti 5,000 tan metrik sebulan yang dijangka mula beroperasi pada 2027.
Kemudahan baharu di Kapar, Klang yang dijadualkan siap pada 2027 turut dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran pelet kayu, habuk kayu dan serpihan kayu.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































