SHAH ALAM, 14 Julai 2025 – Worldwide Entech Sdn Bhd (Worldwide Entech), anak syarikat milik penuh Worldwide Holdings Berhad (WHB), telah mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai syarikat pertama di Malaysia yang berjaya menukar tapak pelupusan sanitari kepada taman rekreasi awam.
Pengiktirafan tersebut disampaikan kepada Pengarah Eksekutif Worldwide Entech, Datin Paduka Norazlina Zakaria, semasa majlis MBR30 Celebration of Delights yang berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya.
Tapak bekas pelupusan sisa pepejal seluas 100 ekar di Puchong itu sebelum ini mencatat pelbagai kejayaan dalam industri pengurusan sisa negara. Pada 1995, ia merupakan tapak pelupusan sanitari pertama di Malaysia. Sembilan tahun kemudian, tapak ini telah diiktiraf oleh MBR atas kejayaan melaksanakan projek penjanaan elektrik daripada gas metana hasil pereputan sisa pepejal.
Kini, tapak tersebut telah berubah menjadi taman rekreasi komuniti yang dilengkapi kemudahan landskap, laluan pejalan kaki dan infrastruktur awam lain, dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa bagi pengurusan pasca penutupan tapak pelupusan.
Datin Paduka Norazlina berkata pencapaian ini merupakan cerminan kepada komitmen berterusan Wordlwide Entech dan WHB dalam inovasi alam sekitar dan tanggungjawab sosial korporat.
“Menukar tapak pelupusan lama yang telah ditutup kepada ruang rekreasi dan bermanfaat adalah makna sebenar kelestarian — menjadikan cabaran semalam sebagai nilai bersama untuk hari esok,” tambah beliau lagi.
Pengiktirafan ini juga menyerlahkan peranan aktif Worldwide Entech dalam melaksanakan penyelesaian jangka panjang terhadap cabaran pengurusan sisa, selari dengan visi WHB untuk mencipta nilai mampan buat negeri Selangor dan seterusnya.
Antara inisiatif terbaharu syarikat ialah pembangunan tiga projek Waste-to-Energy (penghasilan tenaga dari sisa) di Selangor, yang bakal mengukuhkan lagi pengurusan sisa secara mampan dan inovatif di negeri itu.
Bekas tapak pelupusan sanitari Puchong yang kini menjadi taman rekreasi awam ini turut dijadikan model rujukan nasional dalam transformasi tanah berimpak tinggi; satu contoh bagaimana pembangunan semula secara lestari boleh membawa manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat setempat.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































