PETALING JAYA, 8 Disember 2025 – Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) hari ini menerima pengiktirafan berprestij apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Employer of Choice (Private Sector) – Gold Category oleh Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM).
Anugerah tersebut mengiktiraf komitmen syarikat dalam membina persekitaran kerja yang progresif dan berprestasi tinggi, serta kejayaan mereka dalam aspek pembangunan bakat, kesejahteraan pekerja, dan usaha penambahbaikan berterusan di setiap peringkat organisasi.
Anugerah berkenaan telah diterima oleh Ketua Pegawai Khidmat Sokongan Worldwide Holdings, Kamal Zaharin Nazir dalam satu majlis yang meraikan kecemerlangan amalan sumber manusia sektor swasta di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata kejayaan ini mencerminkan keberkesanan strategi pembangunan modal insan jangka panjang syarikat.
“Di Worldwide Holdings, kami percaya bahawa pelaburan terhadap pekerja adalah pelaburan terhadap masa depan syarikat.
“Kami akan terus membangunkan inisiatif bermakna yang memupuk bakat, menggalakkan inovasi dan membentuk budaya kerja mampan serta berprestij tinggi. Pencapaian ini mengukuhkan lagi reputasi Worldwide Holdings sebagai sebuah organisasi yang progresif, bertanggungjawab dan berorientasikan manusia,” kata beliau lagi.
MIHRM selaku badan profesional sumber manusia utama negara membuat penilaian berdasarkan kriteria kepimpinan, strategi sumber manusia, penglibatan pekerja, pembelajaran berterusan, serta inovasi dalam amalan pengurusan.
Selain pengiktirafan sumber manusia ini, Worldwide Holdings turut merekodkan kecemerlangan operasi apabila meraih anugerah Gold Class 2 di bawah Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MSOSH ke-43.
Kecemerlangan syarikat turut terbukti menerusi pencapaian dua anak syarikatnya dalam Selangor Investors Appreciation Awards anjuran Invest Selangor. Syarikat Worldwide Envirogreen Sdn Bhd telah menerima anugerah Pelaburan Tertinggi oleh Syarikat Domestik bagi Sektor Perkhidmatan untuk tahun 2023, manakala Worldwide Hydro Energy Sdn Bhd menerima anugerah yang sama bagi tahun 2024.
Pencapaian berganda ini membuktikan komitmen teguh syarikat itu terhadap amalan perniagaan bertanggungjawab dan pelaburan strategik yang memberi impak positif kepada pemegang taruh dan negeri Selangor.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































