KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Yayasan Hasanah menyokong 1,134 projek komuniti yang memanfaatkan lebih 4.01 juta orang di seluruh negara sepanjang sedekad lalu, sambil menegaskan bahawa usaha kelestarian memerlukan lebih daripada pembiayaan kewangan.
Perkara itu dikongsikan sempena pelancaran Laporan Hasanah 2025 bertemakan “The Long Harvest”, yang menekankan kepentingan kepercayaan, kerjasama dan kepimpinan tempatan dalam mengekalkan kemajuan komuniti.
Yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) itu menjelaskan bahawa dana berperanan sebagai pemangkin awal, manakala kemajuan jangka panjang bergantung kepada keupayaan komuniti menyesuaikan diri, membina hubungan kukuh dan meneruskan inisiatif secara berdikari.
Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, berkata pengalaman bekerja bersama komuniti dan rakan kongsi di seluruh negara telah memperluas pemahaman yayasan terhadap impak. Menurut beliau, tumpuan kini bukan sekadar kepada jumlah bantuan yang disalurkan, tetapi kepada keadaan yang membolehkan kemajuan terus bertahan selepas projek dimulakan.
“Pada peringkat awal, kami memberi tumpuan kepada projek yang dilancarkan, program yang disampaikan dan masyarakat yang disantuni. Perkara itu kekal penting, namun kami semakin memberi perhatian kepada persoalan lebih besar: apakah yang membolehkan kemajuan berterusan selepas sesuatu projek bermula?” kata beliau.
Siti Kamariah berkata kemajuan paling bermakna berlaku apabila komuniti mampu menggerakkan inisiatif sendiri, pemimpin tempatan tampil memimpin, dan kerjasama kekal berfungsi walaupun tempoh rasmi projek berakhir.
“Pembiayaan sangat membantu untuk memulakan sesuatu. Namun daya tahan jangka panjang biasanya dibina melaluikepercayaan, hubungan, kepimpinan tempatan dan keyakinan masyarakat yang berkembang dari semasa ke semasa,” kata beliau lagi.
Beliau berkata faktor tersebut jarang muncul dalam belanjawan, namun sering menentukan sama ada sesuatu kemajuan dapat diteruskan. Justeru, kerja yayasan bukan hanya menyokong program, tetapi membina kepercayaan, belajar bersama komuniti dan membentuk penyelesaian bersama agar hasil diukur melalui keupayaan komuniti bergerak maju secara berdikari.
Pendekatan itu diterjemahkan melalui tujuh kisah komuniti dalam laporan berkenaan, yang menggambarkan bagaimana kepercayaan, kepimpinan tempatan dan kerjasama jangka panjang membentuk hasil di lapangan.
Ini merangkumi usaha memulihkan ekosistem pesisir pantai di Perak, meningkatkan penglibatan sekolah melalui sukan bola sepak di Sabah, memperkukuh sektor kesihatan, pendidikan serta mata pencarian di Pulau Omadal, dan memelihara warisan budaya di samping membuka jalan pemulihan serta peluang baharu di Sarawak.
Bagi memperkukuh naratif laporan itu, Yayasan Hasanah turut menerbitkan koleksi filem dokumentari pendek yang memaparkan individu, komuniti dan rakan kongsi di sebalik projek berkenaan. Filem itu memberi pandangan lebih dekat tentang usaha pemuliharaan hutan paya bakau di kawasan pesisir pantai serta penciptaan peluang melalui pendidikan, budaya dan kepimpinan komuniti di seluruh negara.
Melangkah ke hadapan, Yayasan Hasanah komited untuk terus melabur dalam program, perkongsian dan idea baharu yang memperkukuh asas kemajuan jangka panjang masyarakat. Pendekatan itu termasuk menyesuaikan sokongan dengan cabaran komuniti di Malaysia, daripada perubahan sumber pendapatan dan tekanan alam sekitar hingga isu penuaan penduduk.“Apabila komuniti berkembang, cara kami menyokong mereka juga mesti berkembang. Selama bertahun-tahun, kami belajar bahawa kemajuan jarang mengikut satu pelan tindakan sahaja. Peranan kami adalah untuk terus belajar bersama komuniti dan rakan kongsi, serta membantu mewujudkan keadaan yang membolehkan idea berkembang,” kata Siti Kamariah.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































