Singapura, 18 September 2023 — Yeo Hiap Seng (Yeo’s), jenama warisan terkenal Singapura, baru-baru ini memperkenalkan “Taman Minuman Yeo’s” di Gardens by the Bay, destinasi taman botani utama Singapura.
Taman Minuman Yeo’s mendapat inspirasi dari Teh Bunga Kekwa, salah satu produk minuman Yeo’s yang terkenal. Di taman ini, Yeo’s akan mempamerkan bunga berwarna keemasan ini selain menawarkan pelbagai tarikan lain buat pengunjung seperti penyediaan Teh Bunga Kekwa, Teh Bunga Salji yang baru dilancarkan, dan Teh Bunga Ros yang dihasilkan melalui dapur ujian.
Pengunjung dapat mempelajari serba sedikit tentang kisah unik di sebalik kualiti penghasilan minuman Yeo’s. Antaranya termasuk keistimewaan bunga kekwa dan proses rumit dalam menghasilkan Teh Bunga Yeo’s, bermula dari penanaman bunga segar, pengeringan, teknik penyediaan, hingga kepada proses penyejukan dan pembungkusan.
Selain itu, Taman Minuman Yeo’s akan turut mengedar Teh Bunga Yeo’s edisi istimewa sempena menyambut ulang tahun ke-100 pelantikan Perdana Menteri Singapura yang pertama, mendiang Lee Kuan Yew. Walaubagaimanapun, edisi istimewa ini tidak akan dijual tetapi diedarkan secara percuma di pelbagai lokasi di Singapura, termasuklah Gardens by the Bay, salah satu projek yang mendapat naungan visi mendiang.
CEO Yeo Hiap Seng, Ong Yuh Hwang berkata Taman Minuman Yeo’s adalah satu cara untuk mempamerkan keistimewaan minuman jenama Yeo’s yang popular ini, yang dihasilkan dengan teliti menggunakan bahan berkualiti tinggi.
Taman Minuman Yeo’s juga merupakan usaha terkini Yeo’s dalam mempelbagaikan bahan utama produk mereka untuk menggalakkan amalan pengeluaran yang lebih mampan. Dengan meneroka variasi baru bunga dalam minuman mereka, Yeo’s mengakui bahawa ini dapat mengurangkan kebergantungan mereka pada satu jenis tanaman dan menyumbang kepada bekalan yang lebih sihat untuk masa depan.
Teh Bunga Yeo’s dihasilkan daripada bunga Hang Bai Ju gred A yang wangi. Setiap paket teh mengandungi sekurang-kurangnya sepuluh bunga yang dituai segar terus dari ladang.
Taman Minuman Yeo’s adalah hasil kerjasama antara Yeo’s, Gardens by the Bay, dan studio botani This Humid House yang terkenal dengan rekaan kontemporari menggambarkan iklim, geografi, dan budaya sekitar kita.
Taman ini sekali gus melengkapkan pameran bunga “Chrysanthemum Charm” Gardens by the Bay yang akan datang. Pameran bunga ini akan dibuka pada 29 September dan mendapat inspirasi dari padang rumput terbuka di Mongolia.
Taman Minuman Yeo’s akan dibuka untuk pengunjung selama empat minggu bermula dari 16 September hingga 13 Oktober di South American Garden di Flower Dome, Gardens by the Bay.