KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2025 – Acara sukan utama di Malaysia terus menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa, menurut data carian terkini daripada platform pelancongan digital Agoda.
Data tersebut menunjukkan peningkatan ketara dalam carian penginapan bersempena acara seperti Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon, Mount Kinabalu Climbathon, dan IRONMAN 70.3 Langkawi Triathlon; menunjukkan acara sukan mampu menjadi pemangkin aktiviti pelancongan di seluruh negara.
Sepanjang hujung minggu Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon pada 4 hingga 5 Oktober lalu, carian penginapan domestik meningkat 24%, manakala minat antarabangsa naik 7% berbanding tahun sebelumnya. Antara pasaran utama yang menunjukkan lonjakan minat termasuk Bangladesh (+224%), Hong Kong (+73%), Korea Selatan (+48%) dan Taiwan (+25%), selain peningkatan stabil dari Jepun (+22%).
Sementara itu, acara triatlon jarak jauhIRONMAN 70.3 Langkawi yang dijadualkan pada 1 Novembermenarik minat pelancong luar untuk datang ke pulau legenda itu. Pasaran utama yang menunjukkan minat tinggi termasuk Singapura, India, Korea Selatan, Bangladesh dan Jepun; dengan Korea Selatan mencatat lonjakan tertinggi sebanyak 536% dan Bangladesh sebanyak 148%.
Mount Kinabalu International Climbathon ke-32 yang berlangsung pada 19 Oktober yang lepas turut mencetuskan peningkatan minat pelancong ke Sabah, khususnya ke Kota Kinabalu sebagai destinasi utama berhampiran Gunung Kinabalu. Pelancong dari Korea Selatan, Singapura dan China mendahului senarai, dengan Singapura mencatat kenaikan carian tertinggi sebanyak 84%.
Corak ini membuktikan bahawa kalendar sukan Malaysia terus mendapat perhatian di rantau Asia, memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan sukan yang berpotensi besar.
Sebagai langkah galakan, kerajaan baru-baru ini mengumumkan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50% kepada syarikat swasta yang menganjurkan acara seni, budaya, pelancongan, serta sukan bertaraf antarabangsa. Inisiatif di bawah Belanjawan 2026 ini dijangka meningkatkan penglibatan sektor swasta serta memperkukuh persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei, Fabian Teja, berkata acara sukan bukan sekadar pertandingan tetapi juga peluang untuk meneroka dan menikmati keunikan destinasi.
“Acara sukan menghubungkan pengalaman perjalanan dengan semangat kesukanan. Ia membuka peluang kepada pelancong untuk menikmati kepelbagaian Malaysia, daripada pulau dan hutan hujan hingga ke bandar-bandar berwarna-warni,” katanya.
Dengan lebih 6 juta pilihan penginapan, 130,000 laluan penerbangan dan 300,000 aktiviti pelancongan, Agoda kini memudahkan pelancong merancang perjalanan dan mendapatkan tawaran terbaik di seluruh dunia melalui aplikasi mudah alih atau laman web.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































