PETALING JAYA, 11 Mac 2025 – Anugerah BOH Cameronian Arts Awards (20BCAA) kembali dengan penuh gemilang, meraikan dua dekad pengiktirafan terhadap bakat seni persembahan tanah air.
Diumumkan di Teater Eksperimen, Taylor’s University Lakeside Campus, majlis pencalonan 20BCAA menampilkan artis dan produksi cemerlang dalam teater, tarian, muzik dan teater muzikal yang telah mencorakkan industri seni Malaysia sepanjang tahun lalu.
Tahun ini, anugerah yang ditaja oleh BOH Plantations dan dianjurkan oleh Kakiseni menyaksikan 77 penyertaan merangkumi 38 kategori, termasuk tarian (9 subkategori), muzik (8 subkategori), teater muzikal (12 subkategori) dan teater (9 subkategori).
Sebanyak 41 produksi telah dicalonkan, terdiri daripada 12 produksi tarian, 7 teater muzikal, 10 muzik dan 12 teater.
Meraikan legasi, menginspirasi masa depan
Tema tahun ini, “20 Years of Legacy: Igniting Inspiration for Tomorrow”, bukan sahaja mengimbau pencapaian lalu tetapi juga memberi fokus kepada masa depan seni persembahan di Malaysia.
BCAA turut memperkenalkan Jelajah Universiti BCAA, membawa tokoh seni ke institusi pendidikan terpilih, serta Sesi Perkongsian bersama Calon 20BCAA, yang akan diadakan di beberapa lokasi utama sekitar Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo, berkata BOH berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan seni Malaysia sejak dua dekad lalu.
“Sejak dari awal kami menyokong Kakiseni menganjurkan anugerah ini, hingga ke hari ini, BOH Cameronian Arts Awards terus memainkan peranan penting dalam mencorak industri seni. Kami komited untuk terus menyemarakkan inspirasi dan memastikan kelangsungan seni persembahan untuk masa hadapan,” katanya.
Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen, pula menekankan kepentingan kesinambungan seni sebagai warisan yang perlu terus berkembang.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu peringatan tentang bagaimana seni mencorakkan identiti kita dan merakamkan kisah masyarakat. Cabaran kini adalah bagaimana memastikan seni terus relevan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi akan datang,” katanya.
Perjalanan seni yang berterusan
BCAA tahun ini turut mendapat sokongan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Yayasan Sime Darby, Taylor’s University, A Cut Above, Sephora dan Capri Communications. Majlis Anugerah BOH Cameronian Arts Awards ke-20 dijadualkan berlangsung pada 4 Mei 2025.
Untuk senarai penuh pencalonan dan maklumat lanjut, layari www.kakiseni.org/awards atau ikuti @kakiseni di media sosial.