Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Cat Farish, telah memperkenalkan alter ego baharunya yang dinamakan Si Penghulu menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul “Jandanyer Yeah Yeah”. Lagu tersebut merupakan gabungan unik antara irama hip hop, afrobeat dan unsur budaya rakyat negeri Perak.
Hasil tulisan bersama Cat Farish dan Illegal, lagu itu telah dirakamkan di Platinum Studio, Damansara Perdana, dengan terbitan serta edaran oleh Luncai Emas Sdn Bhd. Hak cipta lagu dan lirik turut dimiliki oleh syarikat berkenaan.
Menurut Cat Farish, karya berkenaan bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi penghormatan kepada wanita bergelar janda yang telah bangkit dengan keyakinan dan semangat baharu.
“Lagu ini untuk beri semangat kepada janda-janda di luar sana — yang bangkit, bersiap, dan buat lelaki menyesal tinggalkan dia,” katanya.
Persona Si Penghulu mula diperkenalkan semasa kolaborasi lagu “Ok” ciptaan Malique. Watak itu kemudian dikembangkan sebagai wadah kreatif untuk menyampaikan karya hip hop yang menampilkan loghat Perak dan gaya rakyat moden.
Beliau turut mengakui bahawa isterinya, Shikin Maembong, menjadi inspirasi utama di sebalik pembikinan projek tersebut. Proses kreatif lagu ini mengambil masa lebih dua tahun sebelum dimuktamadkan.
“Lagu ini dah lama siap, tapi nak dapatkan lirik dan penyampaian yang betul-betul kena dengan mesej tu ambil masa,” jelasnya.
Dengan pelancaran “Jandanyer Yeah Yeah”, Cat Farish telah memperkukuh kedudukannya dalam dunia hip hop tempatan melalui karakter Si Penghulu, yang digambarkan sebagai figura rakyat urban Kampung Sri Kintadi di bawah label Luncai Emas. Single itu telah dilancarkan secara rasmi pada 22 Ogos 2025 di semua platform digital utama dan saluran YouTube Luncai Emas.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































