PETALING JAYA, 1 Oktober 2025 — Lebih 10,000 pelajar berkeperluan khas di seluruh negara kini mendapat manfaat daripada inisiatif Future Skills for All (FS4A) Inclusivity Scale-Up, hasil latihan lebih 150 guru dari 134 sekolah pendidikan khas inklusif sejak Julai 2024.
Program ini diterajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas) dengan sokongan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD), UNICEF Malaysia, CelcomDigi Berhad, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan dilaksanakan oleh Arus Academy.
Menerusi portal dalam talian, kit luar talian dan papan pemuka interaktif, guru menerima latihan praktikal untuk melaksanakan pengajaran berasaskan gamification bagi subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pendekatan ini menekankan reka bentuk pengajaran inklusif supaya kandungan FS4A boleh disesuaikan dengan pelajar berkeperluan berbeza.
Menurut UNICEF Malaysia, inisiatif ini menjadi pemangkin perubahan sistemik dengan melengkapkan guru agar dapat memecahkan halangan yang dihadapi pelajar berkeperluan khas. “Setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan berkualiti tanpa mengira keadaan atau kemampuan,” kata Timbalan Wakil UNICEF Malaysia, Sanja Saranovic.
Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling, berkata program ini juga membantu mengurangkan jurang digital yang semakin ketara. “Dengan melengkapkan guru pendidikan khas dengan minda dan alat yang sesuai, pelajar berkeperluan khas dapat meneroka kemahiran digital dan pembelajaran berasaskan STEM,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Penggunaan Digital MDEC, Ir Wan Murdani Wan Mohamad, menegaskan penyertaan inisiatif MyDigitalMaker dalam program ini sejajar dengan Malaysia Digital yang berhasrat memupuk bakat digital muda pelbagai keupayaan.
Sejak diperkenalkan pada 2020, FS4A telah berkembang menjadi platform pembelajaran penting melalui DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) KPM, dengan lebih dua juta paparan halaman dan 320,000 pengguna seluruh negara.
Dengan landskap digital yang terus berubah, pencapaian ini menandakan langkah penting dalam memastikan semua pelajar, tanpa mengira keupayaan, mendapat akses kepada pendidikan inklusif yang berkualiti. KPM bersama rakan strategiknya berikrar untuk memperluas capaian program bagi melahirkan lebih ramai pendidik dan pelajar celik digital.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































