SEPANG, 12 Nov 2025 — Kementerian Pengangkutan (MOT) menerima Geran Pembangunan Logistik bernilai RM1 juta daripada China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) kerajaan. Geran ini diperuntukkan kepada Pusat Logistik Negara (PLN) bagi menyokong pembangunan kapasiti dan transformasi digital dalam sektor logistik Malaysia.
ICP merupakan inisiatif kerajaan yang memastikan perolehan utama memberi nilai nasional, sekali gus mewujudkan manfaat ekonomi, teknologi dan modal insan untuk negara. Pengurusan dana ICP diselia oleh Technology Depository Agency (TDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab melaksanakan dan memantau program berkenaan.
Majlis penyerahan geran berlangsung pada 11 November 2025 sempena Transport Expo Asia (TXA) 2025, menandakan inisiatif pertama yang dipacu ICP oleh MOT dalam sektor logistik. Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Di bawah geran ini, antara inisiatif utama ialah pensijilan 18 pegawai MOT sebagai ahli Chartered Institute of Logistics and Transport, pembangunan Rangka Kerja Data Kargo Negara, serta pendigitalan Sistem Pangkalan Data MOT menggunakan teknologi Artificial Intelligence.

Usaha-usaha ini bertujuan memperkukuh tadbir urus berasaskan data, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, serta memacu digitalisasi dalam sektor logistik dan pengangkutan Malaysia.
Pada majlis sama, TDA turut membentangkan Laporan Analisis Impak ICP kepada MOT, yang merangkumi hasil dan nilai yang dicapai melalui pelaksanaan ICP dalam sektor pengangkutan dari 2015 hingga 2025. Laporan itu menyoroti kejayaan 129 projek ICP di bawah perolehan MOT, termasuk sektor rel, aeroangkasa, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pembinaan.
Inisiatif-inisiatif ini menyokong pemindahan teknologi, latihan teknikal, pensijilan, dan meningkatkan daya saing syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global. Sebagai pelaksana nasional ICP, TDA kekal komited memastikan setiap perolehan kerajaan memberi nilai mampan, membina keupayaan negara, dan mencipta impak merentas sektor.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tda.my .

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































