KUALA LUMPUR, 20 Julai 2022 — Jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 43.4 peratus tahun ke tahun pada Jun 2022, mencapai paras tertinggi sebanyak RM270.4 bilion, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Eksport meningkat 38.8 peratus tahun ke tahun kepada RM146.2 bilion pada Jun 2022, berkembang untuk bulan ke-22 berturut-turut sejak September 2020 manakala import meningkat 49.3 peratus tahun ke tahun kepada RM124.2 bilion,” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pertumbuhan eksport dipacu oleh prestasi memberangsangkan dalam eksport domestik dan eksport semula.
Katanya, eksport domestik bernilai RM110.6 bilion, memegang 75.7 peratus bahagian daripada jumlah eksport Malaysia, berkembang kukuh sebanyak 30.6 peratus, tahun ke tahun, manakala eksport semula mencatatkan RM35.6 bilion, meningkat 72.2 peratus.
Memandangkan import berkembang lebih pantas daripada eksport, lebihan dagangan menyusut sebanyak 0.8 peratus kepada RM21.9 bilion, menandakan lebihan dagangan bulan ke-26 berturut-turut sejak Mei 2020, katanya.
Menurut beliau, 189 daripada 252 kumpulan komoditi dalam eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya dan ia diterajui oleh injap dan tiub termionik. Bagi import pula, 198 daripada 259 kumpulan mencatatkan pertumbuhan positif.
Beliau berkata peningkatan dalam eksport didorong terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura berjumlah RM9.0 bilion, Amerika Syarikat (AS) (RM3.9 bilion), Kesatuan Eropah (EU) (RM3.5 bilion), Jepun (RM3.1 bilion), Hong Kong (RM2.7 bilion), Indonesia (RM2.3 bilion), Bangladesh (RM2.1 bilion), India (RM1.5 bilion) dan Korea Selatan (RM1.5 bilion).
Tambah beliau, peningkatan mengikut produk dipacu oleh produk elektrik dan elektronik (E&E) (RM15.2 bilion); keluaran petroleum (RM9.9 bilion); gas asli cecair (RM3.8 bilion); minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit (RM3.7 bilion); jentera, peralatan dan alat ganti (RM1.4 bilion); petroleum mentah (RM1.4 bilion) dan pembuatan logam (RM1.0 bilion).
Sementara itu, penyumbang utama bagi import diterajui oleh Singapura dengan nilai peningkatan RM8.8 bilion, diikuti China (RM5.8 bilion), Taiwan (RM3.6 bilion), AS (RM2.8 bilion), EU (RM2.4 bilion), Arab Saudi (RM2.1 bilion), Indonesia (RM2.0 bilion) dan Australia (RM1.9 bilion).
Kata beliau, kenaikan import dicatatkan bagi produk petroleum (RM11.7 bilion); Produk E&E (RM9.3 bilion); kelengkapan pengangkutan (RM2.6 bilion); petroleum mentah (RM2.6 bilion); jentera, peralatan dan alat ganti (RM2.1 bilion); kimia dan bahan kimia (RM1.9 bilion) dan emas, bukan kewangan (RM1.8 bilion).
Jumlah perdagangan bagi suku kedua 2022 meningkat 32.7 peratus tahun ke tahun kepada RM730.4 bilion dengan eksport melonjak 30.0 peratus kepada RM394.2 bilion dan import berkembang 36.1 peratus kepada RM336.1 bilion.
Tambah Mohd Uzir “Ini adalah nilai suku tahunan tertinggi bagi jumlah perdagangan, eksport dan import setakat ini. Manakala lebihan dagangan sebanyak RM58.1 bilion yang dicatatkan bagi tempoh tersebut menguncup sebanyak 10.6 peratus.
— Akses Malaysia