KUCHING, 26 Februari 2025 – PMG Healthcare Group (PMG) menandatangani kerjasama strategik bernilai RM74 juta bersama pengurus dana ekuiti, Ikhlas Capital, bagi memperluas akses perkhidmatan kesihatan primer di Malaysia Timur dan kawasan serantau.
Pengerusi Eksekutif PMG, Dr. Chieng King Chong, berkata pelaburan ini akan membantu PMG meningkatkan rangkaian perkhidmatan, menaik taraf fasiliti, serta mengadaptasi teknologi inovatif bagi memastikan rawatan kesihatan yang lebih berkualiti dan mampu milik.
“Kerjasama ini membolehkan kami memperluaskan lagi perkhidmatan ke lebih banyak komuniti, sama ada secara fizikal atau digital,” katanya.
PMG, yang ditubuhkan pada 2012 di Sarikei, Sarawak, kini mengendalikan 152 farmasi komuniti, 28 klinik perubatan, dan 8 klinik pergigian di seluruh negara.
Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Nazir Razak, berkata pelaburan ini bukan sekadar strategi kewangan, tetapi juga usaha menyokong perniagaan tempatan yang berpotensi untuk berkembang di peringkat nasional dan serantau.
Kerjasama ini turut mendapat sokongan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian. Beliau yakin ia dapat menambah baik akses kepada penjagaan primer, pencegahan penyakit, dan program kesihatan awam sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri.
PMG dan Ikhlas Capital komited untuk membentuk masa depan sektor kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat yang memerlukan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.