KUALA LUMPUR, 13 Disember 2022 — PUSAKA hari ini mengumumkan biasiswa universiti yang pertamanya ditawarkan kepada Irsyad bin Abdul Rahman, seorang pelajar ijazah dalam bidang muzik tradisional di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Irsyad yang merupakan seorang ahli muzik muda yang berasal dari Machang, Kelantan baru sahaja diterima masuk ke UPSI bagi menyambungkan pengajiannya untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pendidikan Muzik.
Irsyad mula berkecimpung dalam bidang muzik Wayang kulit sejak berusia 4 tahun dan bergiat lebih aktif ketika berumur 8 tahun. Beliau yang kini mencecah umur 21 tahun sudah menguasai pelbagai bentuk pergendangan dalam tradisi Wayang Kulit—gendang, geduk, gedombak—dan juga telah mula menguasai permainan serunai.
Selain daripada muzik tradisional, Irsyad juga merupakan seorang pemain drum bagi sebuah kumpulan muzik independen yang dikenali sebagai Parkingsong, sebuah kumpulan yang beliau tubuhkan sendiri bersama abangnya, Syafiq, yang juga merupakan penyanyi dan pemain bass bagi kumpulan tersebut.
Pada peringkat awal, Irsyad mendapat tunjuk ajar dalam bidang muzik Wayang Kulit daripada ayahnya iaitu Abdul Rahman bin Dollah, ketua pemuzik yang pernah mengiringi persembahan Wayang Kulit arwah Tok Dalang Dollah Baju Merah. Kini, Abdul Rahman mengetuai Kumpulan Wayang kulit Sri Warisan Pusaka.
PUSAKA pernah bekerjasama rapat dengan Tok Dalang Dollah Baju Merah. Namun, sejak pemergian beliau pada tahun 2005, PUSAKA membantu Kumpulan Wayang Kulit Sri Warisan Pusaka dalam meneruskan tradisi dan gaya persembahan Tok Dalang Dollah.
Pada tahun 2015, PUSAKA bekerjasama dengan Arts Midwest bagi menganjurkan siri jelajah Wayang Kulit selama satu bulan di Amerika Syarikat dengan menampilkan Kumpulan Wayang Kulit Sri Warisan Pusaka. Irsyad yang pada waktu itu masih berusia 15 tahun merupakan ahli kumpulan yang paling muda dan mampu menambat hati para penonton kerana bakat dan kelincahannya.
Irsyad telah pun memulakan pengajian peringkat ijazahnya pada bulan Oktober 2022 dalam bidang Pendidikan Muzik di Jabatan Muzik dan Pendidikan, sebuah jabatan muzik yang komprehensif di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Jabatan Muzik dan Pendidikan Muzik UPSI ini merangkumi pelbagai bentuk pengajaran dan pembelajaran, baik dalam bilik kuliah mahupun dewan persembahan, melibatkan kumpulan yang diketuai oleh fakulti dan kumpulan yang dikendalikan oleh pelajar.
Biasiswa universiti yang ditawarkan oleh PUSAKA buat julung-julung kali ini adalah untuk tempoh pengajian selama empat tahun, dan ia akan dibuka kepada calon-calon baharu setelah tempoh pengajian pusingan pertama tersebut tamat.