KUALA KUBU BHARU, 29 Julai 2023 – Lebih 20,000 pengunjung telah memeriahkan Kembara RIUH 2023 Edisi Selangor yang dianjurkan oleh Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative), agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Acara ini berlangsung di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu selama tiga hari dari 28 hingga 30 Julai 2023.
Kembara RIUH 2023 ini berperanan sebagai platform kurasi yang efektif untuk membangunkan para artis dan usahawan kreatif serta mendorong belia menghargai hasil seni tempatan selain untuk memasyarakatkan industri kreatif di Malaysia.
Acara ini menampilkan lebih 100 artis dan usahawan kreatif yang mempamerkan hasil seni, produk, dan perkhidmatan mereka.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan daripada artis terkenal seperti Dato’ M. Nasir, Hujan, Banyak Bunyik Republik, Airliftz, Astraloka Gamelan, Drum Circle, dan banyak lagi.
KKD berkomitmen untuk memperkukuhkan industri kreatif dengan meningkatkan permintaan produk tempatan. Sebagai hasilnya, KKD berharap dapat meningkatkan sumbangan sektor ini kepada ekonomi negara dengan sasaran sumbangan sebanyak RM31.9 bilion kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) menjelang tahun 2025.
Program Kembara RIUH 2023 ini diharapkan akan melahirkan pemain industri kreatif tempatan yang berkualiti dan berdaya saing di pasaran antarabangsa. Inisiatif ini merupakan langkah padu yang mendapat sokongan dari pihak KKD, MyCreative, dan juga rakyat terutamanya golongan belia.
Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil turut menghadiri acara tersebut dan memberi sokongan kepada para usahawan, penggiat seni, serta pengusaha industri kreatif tempatan.
Kembara RIUH 2023 diharapkan akan terus memberi impak positif kepada industri kreatif Malaysia dan menjadi jambatan untuk menghubungkan bakat-bakat tempatan dengan pasaran global.