SAMARKAND, 13 Jun 2025 — Tourism Malaysia terus memperhebat kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di rantau Asia Tengah menerusi penganjuran seminar pelancongan dan sesi business-to-business (B2B) strategik di dua bandar utama Uzbekistan—Tashkent dan Samarkand—masing-masing pada 11 dan 13 Jun lalu.
Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan kerjasama dengan rakan dagang pelancongan Uzbekistan serta memperkenalkan pelbagai produk pelancongan unik dan berbilang budaya yang ditawarkan Malaysia kepada pasaran yang sedang berkembang ini. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (Malaysia Inbound Chinese Association, MICA), Uzbekistan Airways, dan turut disertai oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC).
Sesi B2B tersebut mempertemukan pengusaha pelancongan dari Malaysia yang bernaung di bawah MICA dan diperakui dengan pensijilan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR)(Jaminan dan Pengiktirafan Hospitaliti dan Pelancongan Mesra Muslim) oleh ITC.
Antara yang mengambil bahagian termasuk pengendali pelayaran bercirikan Islam dan pengusaha hotel yang menyediakan perkhidmatan patuh syariah. Mereka membentangkan pakej pelancongan khas yang direka untuk keperluan pasaran Asia Tengah.
Majlis dihadiri oleh Pengarah Promosi Antarabangsa (Amerika, Eropah & Oceania) Tourism Malaysia, Encik Mohd Akbal Setia. Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Tuan Yang Terutama Ilham Tuah Illias, dan Pengarah Tourism Malaysia Almaty, Encik Nor Shazly Azmi.
Dalam ucapannya, Mohd Akbal menekankan kepentingan strategik pasaran Asia Tengah dan berkata Uzbekistan merupakan pasaran pelancongan yang penting dan pesat berkembang bagi Malaysia di rantau Asia Tengah. Pada tahun 2024, kita telah menerima seramai 19,835 pelawat dari Uzbekistan, sekali gus mencerminkan minat yang tinggi terhadap destinasi Malaysia.
“Oleh itu, inisiatif ini penting untuk memupuk potensi ini dan melonjakkan angka ketibaan pelancong, terutamanya ketika Malaysia menyasarkan 45 juta ketibaan pelawat antarabangsa serta hasil pelancongan bernilai RM270 bilion tahun ini,” katanya lagi.
Selain Uzbekistan, ketibaan pelancong dari rantau ini pada tahun 2024 turut melibatkan Kazakhstan (39,159 pelawat), Republik Kyrgyz (6,167), Tajikistan (2,537), dan Turkmenistan (7,545).
Kempen promosi berterusan seperti ini dijangka membuka lebih banyak laluan penerbangan terus dan meningkatkan minat pelancong dari Asia Tengah terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan yang menawarkan pelancongan mesra Muslim, kemudahan moden dan warisan budaya yang pelbagai.






Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































