ACEH, INDONESIA, 18 September 2024 – Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) dalam rangka lawatan ke Aceh, Indonesia telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa International Joint Conference on Health and Management (IJCHM) 2024 yang berjaya menghimpunkan pakar serta pelajar dari Malaysia dan Indonesia dalam membincangkan isu-isu utama berkaitan kesihatan global. Persidangan ini memberi fokus kepada krisis kesihatan awam, teknologi dalam penjagaan kesihatan, serta potensi kerjasama antara kedua-dua negara.
Menurut Prof. Adjunct Dr. Marniati, M.Kes, persidangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif International Outbound Mobility Aceh (IOMA) yang dianjurkan oleh University College MAIWP International (UCMI) dan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI). Program ini bertujuan memperkukuh kerjasama akademik antara kedua-dua institusi, dengan harapan dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti kesihatan di peringkat global. UCMI yang terkenal dengan bidang kesihatan menawarkan kepakarannya didalam persidangan kali ini.
Naib Canselor UCMI, Prof. Dr. Wan Mohd Azizi bin Wan Sulaiman, turut berkongsi pengalamannya di Aceh serta minat beliau terhadap perubatan herba, selain menekankan pentingnya persidangan seperti ini dalam membina jaringan dan mencari solusi kepada isu-isu kesihatan dunia.
IJCHM juga menawarkan peluang penerbitan dalam jurnal bereputasi, di samping memberi platform untuk para peserta berinteraksi dengan pihak berkepentingan dalam sektor kesihatan. Persidangan ini diharap memberi impak positif dalam usaha menangani cabaran kesihatan global dan memacu kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia.