KUALA LUMPUR, 13 Februari 2025 – AEON Bank (M) Berhad, bank digital Islamik pertama di Malaysia, bekerjasama dengan MADCash Sdn. Bhd. bagi melancarkan program GrowthStart iTEKAD yang bertujuan memperkasakan 100 usahawan mikro wanita daripada komuniti B40.
Inisiatif ini sejajar dengan program iTEKAD yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia bagi menyokong usahawan mikro daripada golongan berpendapatan rendah. GrowthStart akan membimbing peserta dalam membangunkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan teknologi kewangan dan perisian digital.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, berkata program ini mencerminkan komitmen bank dalam memastikan keterangkuman kewangan.
“Ramai usahawan wanita menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan dan memerlukan bimbingan dalam menguruskan perniagaan. Kerjasama ini diharap dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui modal permulaan, latihan kemahiran, dan bimbingan yang berfokus,” katanya.
Program ini akan berlangsung dari Februari 2025 hingga Ogos 2026 dalam tiga kumpulan, dengan kumpulan pertama terdiri daripada 50 peserta dari sektor makanan dan minuman, pendidikan, kesihatan dan kecantikan, pertanian serta perusahaan sosial.
Peserta program layak menerima pembiayaan Qard sebanyak RM2,000 selaras dengan prinsip kewangan Islam. Selain itu, mereka akan menghadiri bengkel praktikal secara fizikal dan dalam talian bagi meningkatkan kemahiran keusahawanan.
Ketua Pegawai Eksekutif MADCash, Nuraizah Shamsul Baharin, berkata inisiatif ini akan membantu usahawan wanita meningkatkan kemahiran perniagaan mereka, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi dan kewangan.
“Dengan asas ekonomi yang lebih kukuh, mereka dapat mengatasi pelbagai cabaran dan meningkatkan taraf hidup, sekali gus menggalakkan keterangkuman kewangan dalam masyarakat,” katanya.
AEON Bank menyatakan pihaknya akan terus menyokong pembangunan industri perbankan Islam dan pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif kewangan inklusif.